Astro Penyiar Rasmi Liga Malaysia, Liga Super, Piala FA & Piala Malaysia!

Astro dan Malaysian Football League (MFL) akhirnya secara rasmi mengumumkan kolaborasi selama tiga tahun bermula 2023 hingga 2025 sebagai penyiar rasmi untuk semua pertandingan Liga Malaysia meliputi Perlawanan Sumbangsih (Piala Sultan Haji Ahmad Shah), Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

astro penyiar rasmi liga malaysia, liga super, piala fa & piala malaysia!

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith berkata kerjasama yang terjalin itu akan dimulakan dengan aksi saingan pembuka tirai Perlawanan Sumbangsih pada 24 Februari depan.

 

“Kami teruja dipilih sebagai penyiar rasmi Liga Malaysia sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai ‘hub sukan’ untuk peminat sukan negara.

"Kami sentiasa mengiktiraf kepentingan sukan dalam pembangunan negara dan dengan itu Astro dan MFL komited meningkatkan taraf liputan liga bola sepak tempatan melalui siaran langsung, perkembangan di sebalik tabir sesi latihan pemain dan jurulatih serta membawakan berita terkini untuk sajian khas buat semua peminat negara Malaysia.

"Nantikan perkembangan mengenai liputan kami mengenai siaran langsung perlawanan, on-demand serta kandungan program-program yang lain," jelasnya.

 

Tambah Euan, kehadiran Liga Malaysia akan merancakkan lagi tawaran sukan tempatan di Astro selain memaparkan sukan antarabangsa termasuk Premier League, UEFA Champions League & Europa League, La Liga, BWF, MotoGP, NBA, UFC, WWE, PGA Golf dan ATP Tours.

 

Astro jelasnya lagi, sentiasa berusaha untuk terus memperkasakan sukan tempatan dan atlet negara melalui saluran Astro Arena HD yang telah dilancarkan sejak tahun 2010.

 

Selain mengikuti rapat perkembangan jaguh negara di pentas antarabangsa, Astro Arena HD juga menyediakan platform untuk bekas-bekas atlet membina karier dalam industri sukan.

 

Sementara itu, Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, menerusi kolaborasi itu memberikan konotasi lebih bermakna dalam liputan bola sepak tanah air.

 

"Kami akan memberikan konotasi yang lebih bermakna dalam liputan bola sepak Malaysia dengan memberikan liputan komprehensif dalam HD dan turut boleh distrim melalui menerusi Astro GO.

"Selain itu, Astro akan membawakan variasi persembahan dan penyampaian ulasan serta analisis di studio dari barisan pakar-pakar yang terdiri dari mereka yang berpengalaman dalam dunia bola sepak," katanya.

 

Penonton Astro juga boleh menikmati kandungan eksklusif termasuk sorotan perlawanan, sidang media pra-perlawanan, sesi latihan pemain, akses temubual pemain serta aktiviti menarik bagi memberi peminat merasai kehangatan Liga Malaysia nanti.

 

Layari www.astro.com.my untuk info lanjut.