Buat pertama kalinya, Astro Originals mempersembahkan drama siri premium terbaru yang mengetengahkan kisah fiksyen sebuah keluarga berpengaruh dalam dunia hiburan berjudul KUASA.
KUASA mengisahkan kehidupan sebuah keluarga penerbit terkemuka yang amat berpengaruh dan hidup dalam kemegahan bersama tiga orang anak yang bakal mewarisi legasinya, yang mana setiap ahli keluarga itu punya agenda tersendiri dalam menguasai empayar tersebut.
Menariknya, drama siri premium arahan pengarah terkemuka Kroll Azry ini merupakan hasil kerjasama dua penerbit filem blockbuster dalam industri perfileman Malaysia, Astro Shaw dan Skop Productions.
Terdahulu, kedua-dua penerbit ini pernah bergabung menghasilkan filem pecah panggung seperti Abang Long Fadil 2, KL Special Force dan Misteri Dilaila, serta Penunggang Agama 1 & 2.
Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Pihak kami berasa sangat gembira apabila dapat berpeluang sekali lagi bekerjasama dengan rakan penerbit Skop Productions. Bezanya kala ini dalam penerbitan drama siri premium.
“Melihat sambutan drama premium Astro Originals terdahulu menerusi Kampong Pisang Bersiri-Siri, Projek: Anchor SPM, I-Tanggang dan Dukun Diva, kami percaya jalan cerita yang dan kualiti produksi yang tinggi, mampu memberi kepuasan berbeza kepada penonton.
“Begitu juga dengan KUASA, yang mana tema utamanya adalah kekeluargaan yang merupakan subjek universal, tetapi isu yang dikupas berlegar dalam industri perfileman, kerakusan kuasa, sabotaj dan kemasyhuran. Jadi, kami harap KUASA dapat mencipta kejayaan tersendiri dan sekaligus menjadi sebahagian perubahan dalam industri hiburan Malaysia.”
KUASA membariskan gabungan pelakon senior dan baru seperti Nazim Othman, Nadia Brian, Ridzuan Hashim, Ning Baizura, Dazrin Kamarudin, Izzy Reef, Nia Atasha, Alicia Amin, Syanie Hisham dan Azri Iskandar.
Ia akan menemui penonton mulai 11 April ini, setiap Isnin jam 9 malam di Astro Citra saluran 108 atau strim di platform GO atau On Demand.
Saksikan KUASA yang bakal ditayangkan di saluran Astro Citra pada jam 9.00 malam, bermula 11 April ini. Anda juga boleh strim di platform Astro GO atau On Demand. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.