Baru-baru ini, Astro meraikan sambutannya yang ke-25 dan bersempena dengan ulang tahun tersebut, ia berhasrat untuk meraikan kisah-kisah berserta pengalaman pelanggan dan masyarakat menerusi satu kempen yang diberi nama #KitaTeguhBersama.
Nama #KitaTeguhBersama melambangkan kekuatan yang dimiliki bersama, lagi-lagi di momen sukar seperti sekarang, yang mana buat pertama kalinya, rakyat Malaysia dengan situasi pandemik sebegini.
Oleh yang demikian, Astro yakin sekiranya rakyat Malaysia bersama-sama memainkan peranan masing-masing, kita berupaya untuk menamatkan pergelutan yang dialami akibat COVID-19 ini.
Berikutan itu, dalam usaha menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Astro telah menggerakkan kakitangan dan bakat bawah naungannya untuk menjadi sukarelawan di pusat vaksinasi Stadium Bukit Jalil.
Usaha itu merupakan sebahagian daripada kempen #KitaTeguhBersama, yang bertujuan meraikan semangat perpaduan dan kebersamaan bersempena dengan Hari Kebangsaan selain mencetuskan inspirasi dalam kalangan rakyat untuk melakar kejayaan ke peringkat yang lebih tinggi andainya kita terus berganding bahu antara satu sama lain dalam menempuh apa jua dugaan.
Kehadiran sukarelawan ini adalah bagi membantu tugasan yang berbentuk bukan medik misalnya pemantauan suhu badan dan pemeriksaan gejala, pendaftaran, serta pengurusan bilik menunggu.
Sehubungan dengan itu, Astro turut melancarkan lagu tema vaksinasi, berjudul “Get Your Shot Now” bagi menggalakkan orang ramai agar sama-sama bertindak mendaftar untuk menerima vaksin.
“Saya amat bersyukur kerana berpeluang untuk terlibat sama dalam membantu negara memerangi COVID-19. Saya berharap agar kita semua akan dapat divaksinasi tidak lama lagi dan setiap individu dalam masyarakat dapat membentuk perlindungan kelompok atau ‘herd immunity’ dan sama-sama dilindungi,” ujar pelakon dan pelakon tanah air, Amira Othman.
Dalam perkembangan yang sama, Astro juga terus bertindak proaktif dalam mengatur slot temu janji vaksinasi terhadap barisan kakitangannya yang berada di Lembah Klang sejak Jun lalu.
Tidak ketinggalan, Yayasan Astro Kasih, yang merupakan yayasan tanggungjawab sosial korporat bawah kendalian Astro Malaysia turut memberi sokongan kepada masyarakat menerusi sumbangan barangan keperluan dan makanan kepada Rumah Kanak-Kanak Bondulu di Tambunan Sabah dan kepada kampung-kampung sekitar tiga buah sekolah rendah – Sekolah Kebangsaan Magandai (Kota Marudu), Sekolah Kebangsaan Malinsau (Ranau) dan Sekolah Kebangsaan Sungai Paku ( Kapit ) di Sabah dan Sarawak.
Di bawah inisiatif yang sama, #KitaTeguhBersama, Astro Kasih juga akan menyalurkan dana kepada Lung Foundation of Malaysia dan Projek #BangsaMalaysia bagi digunakan untuk membeli peralatan perubatan seperti tangki oksigen dan alat pernafasan supaya dapat disalurkan kepada hospital dan pesakit yang terkesan oleh jangkitan COVID-19.