Dalam usaha membendung penularan varian Delta, pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) akan mula memberikan suntikan ketiga vaksin COVID-19 atau juga disebut sebagai dos penggalak mulai September ini.
Berdasarkan perancangan, booster shot itu diberikan kepada penerima selepas lapan bulan daripada suntikan kedua vaksin Pfizer atau Moderna.
"Saya ingin menjelaskan, matlamat utama kami adalah untuk menyelamatkan nyawa dan membendung penularan yang lebih serius.
"Data yang akan diterbitkan hari ini dan minggu hadapan bakal menyaksikan keberkesanan vaksin terhadap jangkitan SARS-CoV-2 semakin menurun.
"Walaupun vaksin ketika ini terbukti berkesan mencegah kes di hospital, kita juga menyaksikan bukti penurunan keberkesanan dari semasa ke semasa dan terhadap varian Delta," kata Pengarah Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC), Dr Rochelle Walensky.
Selain Pfizer dan Moderna, suntikan tunggal daripada vaksin Johnson & Johnson juga mungkin memerlukan booster shot, namun data lanjut akan dibentangkan dalam masa terdekat.
Pemberian booster shot ini adalah berdasarkan keputusan penilaian Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) terhadap keberkesanan dan keselamatan vaksin kepada masyarakat.
Sumber: [1]