Anggota NCT Berkongsi Mengenai NCT Hollywood

Pada 29 Jun lalu, syarikat hiburan gergasi Korea Selatan iaitu SM Entertainment mengadakan SM Congress 2021 secara dalam talian. Ia dihoskan oleh figura berpengaruh dari syarikat itu, iaitu Lee Soo Man.

anggota nct berkongsi mengenai nct hollywood

Sepanjang acara tersebut berlangsung, Lee Soo Man sempat berbicara bersama anggota NCT iaitu Doyoung, Mark dan Kun mengenai perancangan kumpulan itu yang akan datang.

Menurut mereka, antara projek berskala besar yang boleh dinantikan peminat kumpulan terbabit termasuklah pembentukan sub-unit terbaru yang dikenali sebagai NCT Hollywood.

Mark menjelaskan bahawa sebuah syarikat produksi dari Amerika Syarikat, MGM Television, yang pernah menghasilkan program realiti popular “Survivor” dan “The Voice” akan bekerjasama dengan SM Entertainment dalam mengadakan program audisi survival di Amerika Syarikat bagi membentuk kumpulan NCT Hollywood.

Tambah salah seorang ahli NCT lagi iaitu Doyoung, sementara Lee Soo Man bertanggungjawab dalam penghasilan kumpulan terbaru itu, NCT bagaimanapun akan menjadi anggota yang bertanggungjawab untuk membimbing ahli-ahli baru itu.

Kongsi Doyoung, “Saya berasa gugup, tetapi saya sangat menantikannya.”

Dalam pada itu, satu klip oleh Ketua MGM iaitu Mark Burnett mendedahkan bahawa projek tersebut digelar “K-Pop Goes Hollywood” yang mana menurutnya, “21 peserta bertuah akan dipilih untuk bergabung dengan SM di Seoul, Korea dan melalui ‘bootcamp’ K-Pop di sana.”

Susulan itu, Lee Soo Man turut menambah, “Pemenang akan menjadi NCT Hollywood dan debut di sini di Amerika.”

 

Sumber: [1]