“Bila Nak Kahwin?” - Jawapan Amira Othman Menerusi Single Terbarunya

Penyanyi dan pelakon berbakat besar, Amira Othman, kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharunya berjudul "Bila Nak Kahwin?". Diedarkan oleh Sony Music Malaysia dengan kerjasama kreatif bersama Emiera Othman Ventures, lagu ini adalah hasil ciptaan dua komposer terkemuka, Iqie Hugh dan Omar K bersama Amira sendiri.

 

Dengan gabungan mesej mendalam dan elemen muzik yang segar, "Bila Nak Kahwin?" tampil berbeza daripada karya-karya terdahulu Amira, menjadikannya sebuah karya yang unik serta relevan dengan kehidupan masyarakat masa kini.

 

Sejak memulakan kerjaya seninya dari tahun 2013, sebagai figura publik yang dikenali ramai, Amira sering dihujani dengan pelbagai soalan, sama ada tentang kerjaya profesionalnya mahupun kehidupan peribadi. Bertitik tolak dari soalan-soalan berikutlah membuahkan inspirasi untuk Amira melakar bait-bait liriknya kerana ada mesej yang ingin disampaikan.

 

“Saya yakin lagu ‘Bila Nak Kahwin?” ini sangat ‘relatable’ dengan ramai orang di luar sana, secara tidak langsung ada sesuatu yang ingin saya sampaikan dengan harapan ia menjadi pendorong serta semangat buat mereka yang sentiasa berdepan dengan situasi tersebut. Jadi, saya memandangnya dari sudut positif dan jadikannya sebagai inspirasi dalam penghasilan lagu ini,” jelas Amira.

 

Melalui single ini, Amira berharap mesej tentang kepercayaan kepada takdir Ilahi akan dapat disampaikan kepada para pendengar. “Saya ingin mengingatkan pada semua bahawa jodoh, rezeki dan masa depan kita kesemuanya adalah ketentuan dari Tuhan. Jadi, saya harap ia menjadi sumber inspirasi kepada mereka yang sering berdepan soalan sama seperti saya,” katanya.

 

Amira turut menyasarkan agar lagu ini bukan sahaja diterima baik di Malaysia, tetapi juga mampu menembusi pasaran luar negara. Selain itu, Amira juga berharap lagu ini menjadi tular di platform media sosial seperti TikTok dan memberi impak yang besar kepada peminat tersayang dan pendengar muzik amnya.