Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan di beberapa negeri di Malaysia.
Menurut jabatan itu, tiga negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang (Kuantan dan Jerantut) akan mengalami hujan yang sangat lebat berterusan kategori bahaya sehingga Rabu, 21 Disember 2022.
Selain itu, amaran hujan berterusan kategori buruk juga dijangka berlaku di negeri Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Sik dan Baling), Perak (Hulu Perak), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Maran, Pekan dan Rompin).
Hujan berterusan kategori waspada pula dijangka berlaku di negeri Kedah (Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama dan Kuala Kangsar), Pahang (Raub, Bentong, Temerloh dan Bera), Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).
Menurut Met Malaysia, amaran hujan berterusan (kategori bahaya) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150 mm dalam tempoh 24 jam.
Jika anda berada dalam kawasan yang terjejas, pastikan anda patuh kepada arahan pihak berkuasa dan elakkan daripada menggunakan atau berada di lokasi yang berisiko.
Sumber: Met Malaysia