Baru-baru ini, tular foto di media sosial yang menunjukkan manifesto seorang calon Pilihan Raya Kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang ingin memberikan deodoran kepada pelajar yang berdepan dengan masalah bau badan.
Manifesto itu menarik perhatian ramai kerana menyifatkan ia sebagai satu janji yang munasabah dan logik untuk dilaksanakan, berbanding dengan manifesto-manifesto lain.
Siapa sangka, manifesto yang pernah menjadi bahan ejekan dan kecaman ramai itu telah menjulang nama Siti Nur Asyerra Wasli, 23, hingga berjaya memenangi kempen tersebut dan mengalahkan empat pesaing lain.
Ujar gadis yang mesra dengan panggilan Ara, idea itu lahir daripada pengalaman peribadi dirinya dan rakan-rakan yang berdepan dengan masalah ketiadaan air di universiti.
“Pengalaman saya dan kawan-kawan sepanjang tiga tahun kami di UMS, bekalan air sentiasa tidak mencukupi. Jadi kebanyakan waktu, pelajar perlu minta kelas ‘online’ atau sanggup hadir ke kelas fizikal tanpa mandi.
“Sampai kalau yang duduk sebelah tu mesti akan kata ‘maaf ya kalau saya berbau, saya tak dapat mandi pagi tadi’. Tetapi ada juga yang usaha sampai menginap di hotel atau tumpang di rumah kawan untuk mandi.
“Memang sudah ada pelbagai usaha dari semua pihak untuk selesaikan masalah air. Tapi pemberian deodoran ini adalah penyelesaian percuma kepada semua pelajar yang berasa ‘insecure’,” kata beliau.
Beliau yang berasal dari Ranau, Sabah itu turut berkata, pada mulanya beliau teragak-agak untuk tampil dengan manifesto tersebut, namun yakin selepas mendapat sokongan orang sekeliling.
“Mula-mula saya pun teragak-agak sebab manifesto ni kedengaran lucu. Tetapi orang sekeliling sokong, saya teruskan juga. Sebab itulah saya gunakan tanda pagar #TidakLucuTapiFakta ketika berkempen.
“Kalau bina fasiliti, saya tidak mampu sebab banyak prosesnya. Dan saya tak mahu janjikan bulan bintang sampai akhir.
“Selalu orang kata pemimpin perlulah berwibawa dan berkualiti. Tapi lagi bermakna jika pemimpin yang mahu meletakkan dirinya di tempat rakyat, mahu merasai situasi rakyatnya,” katanya lagi.
Tambah lagi, sejak ideanya itu tular di media sosial, terdapat beberapa penaja yang berminat untuk menunaikan manifestonya itu.
Sumber: Kosmo!