“Mempersendakan Agama Islam, Dosa Besar” - FB Mufti Wilayah Persekutuan

Agama Islam bukanlah satu bentuk jenaka. Hukumnya haram dan berdosa besar sekiranya ia diperlakukan seolah-olah seperti ‘bahan lawak’ oleh sesuatu pihak.

“mempersendakan agama islam, dosa besar” - fb mufti wilayah persekutuan

Menerusi perkongsian di Facebook, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, perbuatan mengejek sesuatu amalan atau kepercayaan dalam agama Islam kebiasaannya dilakukan mereka yang jahil ilmu agama. Ia hanya dapat diubati dengan ilmu pengetahuan baik melalui pengajian atau merujuk kepada individu yang lebih berpengetahuan.

“Disebabkan kejahilan tersebut, maka tidak ada lagi rasa segan silu untuk mengeluarkan kata-kata melalui gurau senda, momokan jenaka atau mempersenda yang hanya mengesahkan lagi kejahilan yang selama ini tersembunyi dalam diri.

“Masyarakat Malaysia seharusnya bersama-sama menolak jenaka yang mempersenda apa jua unsur agama, budaya dan adat masyarakat.

“Kita mesti melihat trend ini sebagai ancaman pada keharmonian hubungan antara agama dan bangsa yang dinikmati oleh negara selama ini,” tulisnya.

Hantaran tersebut dibuat susulan tular insiden mengenai seorang wanita yang ditangkap dan didakwa baru-baru ini atas kesalahan menghina Islam di sebuah kelab komedi yang terletak di TTDI.

Wanita terbabit muncul berpakaian menjolok mata sambil mengakui dirinya berbangsa Melayu, beragama Islam dan mendakwa telah menghafal 15 juzuk al-Quran.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, perbuatan berjenaka dengan mempersenda dan menghina agama merupakan satu bentuk kesalahan jenayah syariah.

“Menurut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, apa-apa perbuatan menghina agama Islam atau menyebabkan agama ini dipandang hina dan mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubung dengan agama Islam boleh disabitkan sebagai satu kesalahan.

“Hal ini tertakluk di bawah Seksyen 7 iaitu menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam dan Seksyen 8 iaitu mempersendakan ayat al-Quran atau hadith,” jelasnya.

 

Sumber: [1]

ARTIKEL BERKAITAN