Planking merupakan salah satu aktiviti senaman dengan posisi statik badan menghadap ke bawah dengan dua tangan menyokong beban badan. Mereka yang sentiasa membuat planking sudah pasti tahu betapa siksanya untuk bertahan dalam keadaan ini meskipun untuk selama beberapa minit.
Namun seorang lelaki dari Australia, Daniel Scali telah memecahkan rekod dunia dengan melakukan planking paling lama iaitu selama sembilan jam!
Rekod itu dibuat Daniel dengan melakukan abdominal plank selama 9 jam, 30 minit dan 1 saat. Ia memecahkan rekod terdahulu dengan catatan masa 8 jam, 15 minit dan 15 saat oleh George Hood pada tahun 2020.
Pencapaian luar biasa Daniel ini bukan sekadar untuk memecahkan rekod dunia, malah dengan misinya untuk menyebarkan kesedaran tentang kondisi kesakitan kronik atau chronic pain.
Kondisi kesihatan itu dilaluinya sendiri dengan complex regional pain syndrome, yang menyebabkan sebarang sentuhan, pergerakan atau terkena air dan juga angin boleh mendatangkan kesakitan.
Beliau mengakui kesukaran untuk melakukan plank dan menceritakan tekanan yang dihadapinya sepanjang sembilan jam itu.
“Pada minit ke-14, bahagian betis saya mula terasa seperti ‘terbakar’ dan dari situ saya tahu ini merupakan percubaan yang sangat mencabar.
"Dengan meletakkan tekanan berpanjangan pada bahagian siku, tangan dan bahu saya harus menguatkan semangat dan bijak untuk mengendalikan kesakitan yang dirasai,” jelasnya.
Lebih teruk, badannya mula menggeletar apabila memasuki tempoh enam dan tujuh jam, hinggakan beliau kepenatan dan muntah.
“Kesakitan itu dapat saya rasakan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.
"Segalanya seakan berasa sangat kebas termasuklah pada bahagian kaki, paha dan tangan kiri pula terasa sangat teruk,” tambahnya lagi.
Bagaimanapun Daniel berpuas hati selepas catatan masa 9 jam 30 minit 1 saat, dan menjadi rekod dunia serta pencapaian peribadi yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
Sumber: [1], [2]