7 Jam Waktu Tidur Ideal Untuk Individu Dewasa

Keperluan tidur berbeza-beza pada setiap orang yang mana umur juga memainkan peranan.

7 jam waktu tidur ideal untuk individu dewasa

Bagaimanapun tidur lebih banyak tidak semestinya lebih baik, sekurang-kurangnya untuk mereka yang berumur pertengahan atau lebih tua, menurut satu kajian baru yang diterbitkan dalam jurnal Nature Aging.

Penyelidik dari Universiti Cambridge di United Kingdom dan Universiti Fuhan di China mendapati bahawa tujuh jam tidur pada waktu malam adalah sesuai untuk individu pertengahan umur atau lebih tua.

Mereka juga mendapati bahawa tidur yang terlalu kurang atau terlalu lebih boleh menyebabkan kesihatan mental individu terjejas dan prestasi mental yang lebih lemah.

Para penyelidik melihat data daripada hampir 500,000 orang dewasa berumur antara 38 dan 73, yang dikumpulkan dalam pangkalan data Biobank UK yang luas.

Subjek ditanya tentang corak tidur mereka, kesihatan mental dan kesejahteraan, dan juga mengambil bahagian dalam satu siri ujian kognitif.

Para penyelidik mempunyai akses kepada imej MRI (pengimejan resonans magnetik) otak dan data genetik daripada hampir 40,000 peserta.

Secara keseluruhannya, para penyelidik mendapati bahawa tidur tujuh jam yang konsisten kelihatan sesuai untuk prestasi kognitif, kesejahteraan umum dan kesihatan mental pada individu pertengahan umur dan lebih tua.

Bagaimanapun, tidur yang terlalu banyak atau terlalu sedikit boleh menyebabkan subjek menjadi lebih perlahan dalam ujian, mempunyai rentang perhatian yang lebih rendah dan kemahiran menyelesaikan masalah yang lebih lemah.

Kesihatan mental mereka juga terjejas, dengan peningkatan gejala kebimbangan dan kemurungan serta kesejahteraan menyeluruh yang lebih rendah.

 

Sumber: [1]