Akibat pandemik COVID-19, sekurangnya 40,000 kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) menjadi yatim piatu dengan kehilangan sekurangnya ibu atau bapa.
Menurut laporan, golongan remaja adalah mangsa terbesar yang menjadi yatim piatu akibat penularan wabak maut ini sejak setahun yang lalu.
Kajian dilakukan oleh Universiti Stony Brook dalam penerbitan JAMA Pediatrik yang menyebut bahawa 37,300 kanak-kanak dan remaja di bawah umur 17 tahun kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 setakat Februari 2021.
Terdapat peningkatan 20 peratus berbanding jumlah anak yang kematian ibu bapa pada tahun-tahun sebelum pandemik COVID-19, hingga menyebabkan mereka mengalami kesedihan teruk, kemurungan dan menjejaskan pendidikan mereka.
Lebih membimbangkan, kanak-kanak yang menjadi yatim piatu ini juga berdepan kecenderungan untuk bunuh diri dan ia boleh berterusan hingga dewasa.
Dalam kajian yang sama, sekiranya kempen vaksinasi tidak dilakukan, bilangan kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa di AS akan meningkat hampir tiga kali ganda kepada 116,900 orang.
Justeru, mereka yang masih belum melakukan pendaftaran vaksinasi adalah sangat digalakkan untuk melakukan pendaftaran dengan segera, dalam usaha kita bersama memutuskan rantaian COVID-19.
Sumber: Kosmo!