4 Dari 10 Lelaki Jepun Dilaporkan Tidak Pernah Bercinta

Kajian terbaru oleh kerajaan Jepun dapati bahawa 40 peratus daripada populasi lelakinya yang berusia 20-an tidak pernah bercinta.

4 dari 10 lelaki jepun dilaporkan tidak pernah bercinta

Menerusi tinjauan terhadap 20,000 individu yang berusia 20-an hingga 60-an dari Disember 2021 hingga Januari, didapati bahawa empat daripada 10 lelaki bujang berusia 20-an yang ditinjau tidak pernah bercinta.

Kadar bujang dalam kalangan lelaki Jepun yang dikaji tidak kelihatan menurun secara drastik mengikut usia, lapor Insider.

Sementara itu, kira-kira 25 peratus daripada wanita berusia 20-an yang ditinjau berkata mereka tidak pernah bercinta.

Menurut laporan sama, satu daripada empat individu bujang Jepun yang berusia dalam lingkungan 30-an, tanpa mengira jantina, mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin.

Tambah tinjauan sama, 26.5 peratus lelaki berusia 30-an tidak mahu berkahwin, begitu juga 25.4 peratus wanita yang ditinjau.

Kedua-dua jantina itu turut menyatakan keinginan mereka terhadap kebebasan sebagai sebab utama untuk tidak berkahwin.

Responden wanita khususnya mengatakan kehilangan pekerjaan, ketidakstabilan kewangan dan terpaksa memikul beban penjagaan anak serta kerja rumah sebagai antara sebab mereka memilih untuk tidak berkahwin.

Kadar kelahiran Jepun telah mendapat perhatian yang besar termasuk daripada Elon Musk yang memberi amaran pada Mei lalu bahawa Jepun akan hilang dari populasi dunia sekiranya ia tidak meningkatkan kadar kelahirannya.

Pada 2021, Jepun tersebut mencatatkan jumlah kelahiran terendahnya dalam tempoh lebih satu abad sekaligus menyaksikan penurunan semula jadi dalam populasi negara itu.

 

Sumber: [1]