Seramai 31 anggota polis termasuk pegawai telah diambil tindakan buang kerja sejak Januari hingga November lalu, demikian menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid.
Terdahulu, sejak 2018 hingga Januari 2023, seramai 339 pegawai polis yang mempunyai masalah disiplin telah pun melalui proses pertukaran di seluruh negara.
Antara kesalahan yang dilakukan pegawai yang ditukarkan adalah seperti mempunyai hubungan intim dengan pegawai polis yang telah berkahwin sehingga mengganggu keharmonian rumah tangga, ditangkap atas kesalahan berkhalwat dengan pegawai polis yang telah berkahwin, dan terlibat dalam kegiatan dan aktiviti tidak bermoral.
Menurut Datuk Allaudeen, berbanding 2022, seramai 40 orang telah dikenakan tindakan hukuman Buang Kerja dan berlaku penurunan pada angka itu pada tahun 2023.
Ujarnya, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Kuala Lumpur memandang serius isu disiplin serta integriti untuk menjaga nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ia sangat penting bagi pegawai dan anggota untuk meningkatkan disiplin, melaksanakan tugas mengikut Standard Operating Procedure (SOP), menjauhi penyalahgunaan dadah, pemerasan, rasuah serta salah guna kuasa,” kata beliau.
Bagaimanapun dalam menjalankan tugas, beliau akui anggota polis sentiasa berdepan dengan cabaran dan situasi yang menguji kesabaran serta emosi.
“Dalam menjalankan tugas, kita sentiasa mengharungi cabaran dan detik-detik yang menguji kesabaran dan emosi kita. Ingatlah kemarahan dan kegagalan mengawal emosi akan mengundang seribu penyesalan.
“Saya berharap, kita sentiasa menjaga imej PDRM dengan meletakkan integriti diri dan pasukan pada tahap utama, nilai dan etika yang tinggi, jujur dan amanah dalam menjalankan tugas tanpa menjejaskan Imej pasukan,” katanya lagi.
Kredit: Kosmo!