Sekurangnya 237 orang di Singapura telah terjebak dengan penipuan data membabitkan WhatsApp Web palsu sejak awal bulan ini dengan jumlah kerugian melebihi RM 2.1 juta.
Menurut laporan polis Singapura, suspek mula menguasai akaun WhatsApp selepas pengguna mengklik pautan URL yang tidak disahkan ketika mencari halaman web rasmi WhatsApp.
Suspek yang menyamar sebagai pengguna asal kemudian menghubungi keluarga atau rakan mangsa yang disenarai dalam kenalan akaun untuk meminta pinjaman.
Suspek mendakwa mereka memerlukan wang dengan segera untuk pembayaran beliau atau membantu rakan dan saudara yang mengalami masalah kewangan.
Menurut laporan The Straits Times, suspek meminta wang dipindahkan ke akaun bank yang tidak kenali atau nombor PayNow yang kononnya milik pengguna akaun asal.
"Mangsa akan menyedari mereka ditipu selepas menghubungi atau dihubungi keluarga atau rakan mereka yang mendakwa tidak menerima sebarang wang," kata polis.
Untuk itu, polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan juga menggunakan langkah keselamatan seperti ciri pengesahan dua langkah, selain hanya menggunakan laman web rasmi WhatsApp Web ketika menggunakan aplikasi itu.
Tambah lagi, orang ramai juga perlu mengelak daripada berkongsi kod pengesahan akaun WhatsApp dan menyemak peranti yang dipautkan di WhatsApp dengan kerap.
Sumber: The Straits Time