100% Golongan Dewasa Malaysia Dijangka Selesai Terima Dua Dos Vaksin Oktober Ini

100% golongan dewasa di Malaysia dijangka menerima dos lengkap vaksin COVID-19 menjelang Oktober ini.

100% golongan dewasa malaysia dijangka selesai terima dua dos vaksin oktober ini

Perkara tersebut dikongsikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, ia berikutan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dipercepatkan kerana penemuan varian baru COVID-19 yang lebih ganas sehingga menyebabkan lonjakan kes positif di negara ini.

“100% populasi dewasa di Selangor dan Kuala Lumpur akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada 1 Ogos 2021 di bawah Operasi Lonjakan Kapasiti.

“100% populasi dewasa di Sarawak akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada akhir Ogos.

“100% populasi dewasa di Malaysia akan menerima dos lengkap vaksin pada bulan Oktober 2021,” terang Muhyiddin menerusi entri terbaru beliau yang dimuat naik di laman Facebook rasminya pada Ahad lalu.

Lanjut beliau lagi, semua negeri dijangka merekodkan kadar vaksinasi melebihi 50% pada akhir Ogos ini dan 70% peratus menjelang bulan depan.

Sebagai tambahan, beliau turut menjelaskan kerajaan telah menempah 76.1 juta dos vaksin dalam PICK yang mana 70% daripada jumlah terbabit merupakan vaksin Pfizer sementara yang selebihnya adalah Sinovac, AstraZeneca, CanSino dan fasiliti COVAX.

“Setakat ini kita telah terima 20 juta dos dari keseluruhan jumlah vaksin yang ditempah. Dijangkakan kita akan menerima jumlah keseluruhan 30 juta dos pada akhir bulan ini, 40 juta dos pada bulan Ogos, 53 juta dos pada bulan September dan 58 juta dos pada bulan Oktober.

“Baki selebihnya akan diterima antara bulan November 2021 hingga Januari 2022.

“Jadual asalnya, 80 peratus penduduk Malaysia menerima dos lengkap vaksin menjelang suku pertama 2022. Sasaran ini kemudiannya dipercepatkan ke Disember 2021,” terang beliau.

 

Sumber: [1]