1 April Bakal Menandakan Permulaan Baru Buat Situasi Pandemik Di Malaysia

Malaysia bakal memasuki Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ selepas lebih dua tahun berperang dengan COVID-19, dengan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial serta pembukaan sempadan negara akan dilaksanakan secara selamat bermula 1 April ini.

1 april bakal menandakan permulaan baru buat situasi pandemik di malaysia

Ia sekaligus bermaksud lebih banyak kelonggaran dalam pelbagai sektor bagi membolehkan rakyat kembali ke kehidupan normal.

Langkah penting ini akan membantu merancakkan kembali ekonomi negara khususnya sektor pelancongan yang terjejas selepas pintu sempadan ditutup sejak 18 Mac 2020 bagi mengekang penularan COVID-19.

Dengan pembukaan semula sempadan negara, rakyat Malaysia kini boleh keluar masuk negara seperti biasa sementara pengembara luar turut boleh melakukan perkara sama tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan.

Fasa peralihan ini adalah hasil kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang mana setakat semalam, sebanyak 98.7 peratus populasi dewasa di dalam negara dilaporkan telah menerima vaksin lengkap dengan 64 peratus daripadanya telah menerima dos penggalak.

PICK disebut sebagai antara yang terbaik di dunia, turut menyumbang kepada kadar pesakit COVID-19 yang rendah dalam Kategori Tiga hingga Lima iaitu sekitar 0.7 peratus daripada kes baru harian selain menyaksikan jumlah pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) terus terkawal.

Bagaimanapun, kerajaan akan terus mengamalkan langkah berjaga-jaga dengan mengekalkan norma baru termasuk pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial, pendaftaran melalui MySejahtera dan mewajibkan MYSJTrace di tempat tertutup.

 

Sumber: [1]