Berikutan panggung wayang di serata Malaysia baru sahaja dibenarkan beroperasi kembali bermula 5 Mac lalu, masih ada juga yang belum berkesempatan untuk berkunjung ke tempat berhibur itu untuk menonton filem kegemaran mereka.
Biarpun begitu, jangan bersedih kerana anda kini boleh mengubat rindu berserta mengimbas kembali nostalgia kemeriahan di panggung wayang pada suatu ketika dahulu menerusi sebuah video yang direkod menggunakan ‘drone’.
Video yang menggamit kenangan di persekitaran panggung wayang itu direkod oleh seorang pengguna YouTube, SkyCandy.
Walaupun ia dirakamkan di sebuah panggung wayang yang terletak di Amerika Syarikat, iaitu Plymouth Grand 15 Cinema di Minnesota, Amerika Syarikat, ia tetap berjaya membuatkan mereka yang menontonnya berasa tersentuh melihat keadaan persekitaran panggung wayang tatkala pandemik COVID-19 melanda dunia.
Di permulaan video tersebut, penonton diperlihatkan dengan persekitaran lobi yang mana pekerja teater terbabit dilihat mengenakan pelitup muka serta menyambut kedatangan pengunjung.
Setelah itu, penonton terus dibawa menjelajah keseluruhan kawasan panggung wayang tersebut dari tempat membeli tiket, ke bahagian membeli makanan, hinggalah ke dalam panggung tersebut yang mana terdapat adegan seorang penonton yang terlupa untuk mematikan telefon bimbitnya hingga menganggu audiens di dalam panggung terbabit.
Oh, bukankah itu satu ragam yang sering kita terjumpa setiap kali memasuki panggung wayang?
Walaubagaimanapun, video tersebut sememangnya berbaloi untuk ditonton kerana ia menghidupkan kembali perasaan rindu yang begitu mendalam terhadap panggung wayang di samping gambaran realiti yang dialami oleh kebanyakan panggung wayang bukan sahaja di Malaysia, bahkan di luar negara akibat pandemik COVID-19 yang melanda dunia.
Sumber: The Verge