Ada sesiapa di sini yang pernah menonton filem komedi Thailand berjudul Pee Mak lakonan hebat antara Mario Maurer dan Davika Hoorne?
Ha! Anda tahu tak di sebalik gelak tawa barisan pelakon filem itu, terselitnya alur cerita yang sebenarnya adalah berdasarkan kisah benar?
Mae Nak Phra Khanong merupakan cerita hantu wanita Thailand terkenal yang berlaku ketika zaman pemerintahan Raja Rama IV.
Ceritanya mengisahkan seorang wanita muda cantik bernama Mae Nak yang tinggal di tebing Terusan Phra Khanong dan cintanya yang tidak terhingga kepada suami, Mak.
Ketika Mae Nak sedang menghamilkan anak mereka, Mak ditugaskan untuk menyertai peperangan yang mana dia mengalami kecederaan parah.
Namun, malang tidak berbau kerana di waktu Mak sedang menerima rawatan di Bangkok, Mae Nak meninggal dunia bersama cahaya mata pertama mereka akibat kesukaran bersalin.
Tanpa mengetahui mengenai berita tersebut, Mak pulang ke rumah dan mendapati isteri serta anaknya menunggu kepulangan mereka.
Tetapi, terdapat jiran yang cuba memberi amaran kepada Mak bahawa isteri dan anaknya sudah tiada lagi dan dia sebenarnya tinggal bersama hantu.
Suatu hari, ketika Mae Nak sedang menyiapkan pes cili, dia terjatuhkan sebiji kapur dari beranda.
Dalam keadaan tergesa-gesa Mae Nak memanjangkan lengannya untuk mengambil kapur tersebut dari tanah di bawah rumah mereka.
Namun, Mak dengan secara tidak sengajanya terlihat kejadian tersebut dan mula menyedari bahawa isterinya itu sebenarnya ialah hantu.
Dalam ketakutan, Mak berusaha mencari jalan untuk melarikan diri tanpa diketahui isterinya.
Setelah mengetahui bahawa suaminya melarikan diri, Mae Nak mengejarnya.
Mak terlihat lalu menyembunyikan dirinya di belakang semak pokok telinga kerbau yang amat ditakuti hantu.
Mak kemudiannya berlari ke kuil Wat Mahabut yang tidak dapat ditembus hantu kerana dianggap sebagai tanah suci.
Dari situ bermulanya keganasan Mae Nak terhadap penduduk Phra Khanong akibat marah kepada mereka, kerana menyebabkan Mak meninggalkannya.
Namun, hantu Mae Nak akhirnya ditangkap oleh penghalau makhluk halus yang kuat dan dikurung di dalam sebuah balang tanah yang mana balang tersebut kemudiannya di buang ke dalam terusan.
Sumber: Wikipedia