Sekiranya anda pernah membesar atau melalui kehidupan di Kuching, Sarawak sekitar tahun 80an, kemungkinan besar anda sudah pun tahu mengenai cerita hantu legenda terkenal yang pernah menghantui bandar tersebut.
Disebut sebagai hantu Janet, kisah seram yang berkisarkan seorang wanita malang ini menjadi sebutan orang ramai sekitar zaman itu kerana kelibatnya yang sering terlihat orang mereka yang tinggal berhampiran, hinggakan ada penduduk yang takut untuk keluar pada waktu malam gara-gara tidak ingin bertemu dengan ‘Janet’.
Mereka yang terpaksa mencari rezeki dan gemar keluar pada waktu malam merupakan antara yang paling terkesan sekali.
Segala-galanya bermula seorang penjawat awam bernama Janet yang bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital umum di Sarawak, diculik setelah selesai menunaikan syif yang berakhir pada lewat malam.
Difahamkan Janet merupakan seorang gadis berketurunan Tionghua, dan kejadian malang itu berlaku sekitar tahun 70an.
Berdasarkan cerita orang ramai, pada zaman itu, wujudnya segolongan masyarakat yang mengamalkan ritual ‘korban semah’ bagi setiap satu pembinaan yang dijalankan, ritual tersebut bertujuan untuk dijadikan semah kepada penunggu yang sering menghalang pembinaan.
Caranya adalah dengan menggunakan kepala mangsa culik yang dipenggal, sebagai semah.
Kejam bukan, bunyinya?
Menurut kepercayaan mereka lagi, apabila tergendalanya sesuatu kerja pembinaan itu, ia adalah berpunca daripada penunggu yang meminta korban untuk disemah, sebelum kerja pembinaan terbabit dapat diteruskan semula dan seterusnya, menghasilkan bangunan yang kukuh dan stabil.
Oh ya! Sekadar perkongsian, buat mereka yang tertanya-tanya mengenai apakah upacara semah, ia merujuk kepada perbuatan menyediakan persembahan acak (jamuan makanan yang diberi kepada makhluk halus), bertujuan mengelakkan terjadinya gangguan yang melibatkan jin-jin yang menghuni tempat berkenaan ataupun dari luar, atau daripada gangguan angkara manusia yang menggunakan sihir.
Ketika kejadian tersebut hangat diperkatakan pada zaman itu, terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa penculikan dan misteri kehilangan Janet berkaitan rapat dengan satu projek pembinaan jambatan gantung yang terkenal di Sarawak, dan kerana itu jugalah mereka yang terlibat mula mencari mangsa untuk dijadikan korban.
Difahamkan hanya gadis perawan yang akan dijadikan sasaran untuk dikorbankan, yang mana kepala mereka sahaja yang akan digunakan, dan pada kebiasaannya ditanam di dalam tiang konkrit.
Seusainya tragedi itu, ramai penduduk setempat mula bercerita mengenai jelmaan Janet yang kerap menghantui kawasan mereka.
Janet dikatakan sering terlihat merayau-rayau berseorangan pada waktu tengah malam dan di antara Kampung Kudei dan Kampung Bintagor, yang merupakan kawasan kampung berdekatan terjadinya tragedi itu.
Mereka yang pernah menyaksikan sendiri ‘jelmaan’ itu berkongsi mengenai penampakan Janet yang dikatakan sering berjalan berseorangan dengan berbaju merah dan berkasut merah.
Adakalanya, ada juga lelaki tertawan dengan rupa parasnya yang dikatakan mempesonakan itu, hinggakan diajak hantu Janet untuk menemaninya menonton wayang larut malam di panggung wayang bersejarah, iaitu Panggung Cathay berdekatan Masjid Bahagian Kuching.
Dahulunya, pasti akan timbul cerita mengenai juruwang yang bekerja di situ menemui daun ataupun wang hantu dalam bentuk lipatan duit pada keesokan harinya setelah didatangi Janet pada malam sebelumnya.
Sejauh manakah kebenaran mengenai kisah ini? Tiada siapa yang tahu.
Namun, menerusi komen-komen yang ditinggalkan dalam talian oleh mereka yang pernah melalui sendiri pengalaman bertemu dengan hantu Janet ini, sememangnya, ia sungguh seperti yang digambarkan, iaitu berbaju merah dan berkasut merah.
Akan tetapi, ada juga generasi kini yang tinggal di Sarawak mengatakan bahawa mereka tidak lagi pernah mendengar kisah mengenai hantu Janet yang suatu ketika dahulu menjadi sebutan penduduk setempat hingga menakut-nakutkan mereka.
Bahkan kelibatnya juga dikatakan sudah tidak kelihatan lagi.
Sumber: [1]