Nak Halau Pencuri, Wanita Sanggup Bakar Rumah Sendiri

Seorang warga emas di Thailand nekad membakar rumahnya selepas terlihat ada pencuri yang cuba memecah masuk ketika dirinya sedang bersendirian.

nak halau pencuri, wanita sanggup bakar rumah sendiri

Kejadian berlaku di daerah Panat Nikhom, wilayah Chonburi pada waktu malam selepas mendapati ada beberapa pencuri cuba memasuki rumahnya. Beliau kemudian cuba untuk menakut-nakutkan pencuri itu dengan menghidupkan dapur gas dan membakar beberapa barangan dalam rumahnya.

 

Selepas penceroboh beredar, wanita berusia 77 tahun itu cuba memadamkan kebakaran yang dia sendiri mulakan, namun api merebak dengan pantas dan seluruh rumah tersebut terbakar.

 

Wanita yang tidak dapat mengawal kebakaran itu kemudian menghubungi pihak polis dan bomba.

 

Selepas polis dan bomba tiba, mereka mendapati wanita itu hanya tunggu di luar kediaman dengan tenang sambil melihat rumah dua tingkatnya dijilat api.

 

Siasatan polis seterusnya tidak pula menemui sebarang bukti pecah masuk, dan wanita itu mungkin akan berhadapan dengan tindakan undang-undang.

 

Ini adalah kerana, menyebabkan kebakaran dengan sengaja adalah satu kesalahan di negara itu, meskipun ia adalah kediaman sendiri.

 

Sumber: Kosmo!