Sejak semalam tular di media sosial satu rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan seorang lelaki menampal kod QR palsu untuk mengutip wang sumbangan orang ramai kepada tabung masjid.
Kejadian berlaku di Indonesia selepas lelaki itu dirakam menampal kod QR palsu dikawasan Masjid Nurul Iman Blok M Square di Jakarta Selatan.
Lelaki itu dilihat berlegar dikawasan masjid, menoleh ke kiri dan kanan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat, sebelum bertindak menampakl kod QR di beberapa kotak sumbangan dalam masjid.
Tulisan pelekat tersebut bertulis ‘Membaik pulih masjid’ di samping ayat berbunyi: “Imbas QRIS untuk infak.”
Menurut Setiausaha Dewan Kesejahteraan Masjid Nurul Iman Blok M Square, Habibi Katin berkata, kejadian itu berlaku pada 6 April lalu ketika suasana masjid sunyi.
“Kejadian itu berlaku pada waktu pagi yang sunyi. Kami mendapati adanya QRIS yang berbeza. Daripada 20 yang ada, 18 ditampal oleh lelaki tersebut,” katanya sambil menambah kod-kod palsu itu kini telah dicabut.
Ekoran daripada kejadian itu, pihak masjid memberi peringatan agar orang ramai berhati-hati sekiranya mahu memberi sumbangan secara atas talian.
Sumber: Kosmo! / Tiktok