Baru-baru ini, tular video yang menunjukkan sejadah masih lagi kering dan tidak terusik, meskipun bahagian lain dalam rumahnya teruk dilanda banjir.
Kejadian dilapor berlaku di sebuah kawasan perumahan teres dua tingkat di Taman Aman dekat Kota Tinggi, Johor.
Menurut laporan, penghuni rumah sewa tersebut memaklumkan dirinya telah diberitahu jiran yang air banjir kini mencecah paras pinggang kira-kira jam 3.30 pagi. Banjir kemudian surut kira-kira jam 4 petang dan membolehkan mereka untuk masuk ke dalam rumah bagi melihat keadaan semasa.
Penghuni rumah yang dikenali sebagai Hidayah kemudian berkata, pintu sliding rumah pecah menyebabkan barang-barang dalam rumah berselerakan. Malah keadaan rumah ketika itu juga penuh dengan lecak. Namun alangkah terkejutnya beliau apabila ruang solat dan Al-Quran masih berada dalam keadaan elok, meskipun banjir ketika itu berada paras hidung.
“Masa masuk rumah tu, keadaan memang berlecak penuh lumpur. Tiba-tiba suami panggil untuk tengok ruang solat di tingkat bawah dan sejadah kering tanpa sedikit pun terkena air banjir mahupun kesan lumpur.
“Bukan setakat sejadah, alas untuk letak sejadah juga tidak basah dan tiada lumpur. Saya tengok depan mata rasa terkedu, nak menangis,” kata Hidayah.
Video yang dirakam itu telah dikongsi semula oleh mStar dan mendapat pelbagai komen dari warganet.
Sumber: mStar