Sebuah restoran di Nagoya, Jepun telah mencuri perhatian ramai kerana membuat perkhidmatan menampar muka pelanggan pada harga 500 yen (kira-kira RM15.82) untuk satu kali tamparan.
Menurut laman berita Oddity Central, perkhidmatan luar buasa itu ditawarkan restoran Shachihoko-ya, hingga menarik kedatangan ramai pelanggan ke restoran itu bagi mahu merasi sendiri pengalaman ditampar pelayan.
Pada awal perkhidmatan itu dibuat, hanya ada seorang pelayan yang ditugaskan untuk melakukannya dengan harga 100 yen (kira-kira RM3.17), namun selepas ia makin mendapat sambutan, beberapa pelayan wanita ditambah dan harganya juga dinaikkan.
Pelanggan yang datang ke restoran itu juga boleh memilih pelayan yang akan menampar mereka dengan harga 500-yen sekali tamparan.
“Lebih kuat mereka ditampar, pelanggan menjadi lebih seronok. Pelanggan tidak marah, sebaliknya kelihatan lebih bertenang selepas ditampar,” kata laporan oleh laman berita Liberty Times Net.
Bagaimanapun menerusi kenyataan yang dibuat pihak pengurusan Shachihoko-ya bulan lepas, premis itu tidak lagi menawarkan perkhidmatan berkenaan atas sebab yang tidak dinyatakan.
“Shachihoko-ya tidak lagi menawarkan perkhidmatan menampar. Kami menghargai perhatian anda semua, namun kami tidak mampu memenuhi permintaan perkhidmatan tersebut,” katanya.
Sumber: Oddity Central