Kebiasaannya, jika anda menikmati hidangan di kedai makan atau restoran, air kosong mahupun air suam mungkin berharga sekitar 50 sen dan kadang kala ia diberikan secara percuma.
Namun sebuah kedai makan yang dirahsiakan namanya di Port Dickson ini telah mengenakan caj sebanyak RM2 untuk air suam dan RM1 untuk air kosong, hingga mendatangkan rasa tidak puas hati seorang pelanggan.
Menerusi perkongsian yang kini tular di Facebook, pelanggan itu berkongsi resit daripada restoran berkenaan dengan jumlah keseluruhan bil sebanyak RM102.
Pelanggan itu turut menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati jika pergi makan di kedai berkenaan yang terletak di Port Dickson.
"Kalau siapa yang ke PD, hati-hatilah ada satu kedai makan di...kedai nombor... janganlah berniaga cekik darah.
"Makan berempat, nasi campur je...nak cepat kaya agaknya. Rupanya bila saya semak dalam web...ramai yang dah terkena," tulisnya.
Menerusi ruangan komen, ada netizen yang mendakwa restoran itu memang terkenal dengan harga mahal dan pernah dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum ini.
Sumber: Sinar Harian