Masa kini, terdapat pelbagai nama yang diberikan kepada anak-anak, daripada yang paling biasa didengari, hingga kepada yang paling aneh dan luarbiasa.
Sama seperti seorang pelajar sekolah menengah di Muara Enim, Sumatera Selatan yang mempunyai nama unik, iaitu ‘ABCDEF GHIJK Zuzu’.
Pelajar itu diberikan nama tersebut oleh bapanya, Zulfahmi, 41, dan ibunya Zuhro Liani, 36.
Foto nama anak itu menjadi tular di media sosial baru-baru ini selepas beliau mengambil suntikan vaksin COVID-19 di Balai Polis Muara Enim.
Bapanya telah mengesahkan nama unik itu adalah nama anaknya, namun mereka sekeluarga lebih selesa memanggil anaknya itu dengan nama Adebz atau Adef.
“Benar, pelajar lelaki dengan nama ABCDEF GHIJK Zuzu itu adalah anak saya.
“Saya sudah lama merancang untuk menamakan anak dengan huruf sejak sebelum kahwin lagi,” katanya kepada Kompas.com.
Bapa kepada remaja itu mengakui mengalami kesukaran untuk mendaftarkan nama anaknya kerana ramai beranggapan dia sekadar bergurau.
“Tidak, saya tidak bergurau dan memang saya ingin namakan anak saya dengan abjad.
“Saya perlu melakukan pelbagai urusan dokumentasi termasuk surat doktor mengenai kelahiran anak saya untuk mendaftar sijil kelahiran Adef kerana mereka ingat saya bergurau,” ujarnya yang berasa bangga dengan nama itu dan berharap anaknya akan menjadi seorang anak yang berjaya.
Sumber: [1]