Satu kajian yang dijalankan Sekolah Perniagaan Sauder Universiti British Columbia mendedahkan pekerja yang bersikap biadap di kedai barang mewah mampu memperoleh hasil jualan yang tinggi.
Kajian yang bertajuk “Should the Devil Sell Prada? Retail Rejection Increases Aspiring Consumers’ Desire for the Brand” itu diterbitkan Journal of Consumer Research edisi Oktober 2014.
Berdasarkan kajian itu, pekerja yang bersikap sombong difahamkan berupaya mengukuhkan reputasi jenama mewah.
Menurut Profesor Pemasaran Sauder dan Pengarah Bersama, Darren Dahl, sikap sombong sebenarnya mungkin kelayakan yang patut dipertimbangkan untuk jenama mewah.
Para penyelidik melabelkan fenomena itu sebagai kesan daripada sebuah filem Hollywood, “Pretty Woman” yang dilakonkan Julia Roberts pada 1990. Dalam filem itu, terdapat satu adegan yang mana watak Roberts dihina di butik mewah.
Penyelidikan terbabit diilhamkan situasi sama yang mana Encik Dahl pernah ditepis oleh seorang pekerja secara kasar. Beliau bagaimanapun, membeli dua botol cologne dan bukannya satu.
Untuk kajian itu, para peserta diminta untuk membayangkan situasi berkenaan. Rata-rata mereka juga malahan pernah memiliki pengalaman berinteraksi dengan pembantu jualan, baik kasar atau tidak.
Para peserta itu kemudian diminta untuk menilai perasaan sendiri terhadap jenama berkaitan dan keinginan masing-masing untuk memilikinya.
Kajian itu mendapati, hasrat mereka yang sememangnya berkeinginan untuk memiliki produk dari jenama mewah, menjadi semakin membuak-buak selepas dilayan dengan biadap oleh pembantu jualan.
Bagaimanapun, kekasaran yang dilakukan para pekerja terhadap para pelanggan tidak berkesan terhadap jenama pasaran besar-besaran.
Menurut Encik Dahl, ia hanya berkesan untuk jenama dan kedai yang pelanggan benar-benar inginkan.
Tambahnya, lain pula untuk kedai jenama kebanyakan yang mana cara tersebut tidak boleh diguna pakai kerana ia tidak akan berkesan.
Sumber: [1]