Aneh, namun itu yang benar terjadi kepada seorang lelaki dari Wales, United Kingdom yang lumpuh dari bahagian bawah badan dan tulang belakang tanpa mengetahui punca penyakit itu sehingga kini.
Insiden itu dilaporkan berlaku ketika Darren Roberts sedang berbaring di atas katil sambil menonton TV pada Julai 2019 di rumah keluarganya dekat Lembah Cynon.
Roberts kemudian berasa sakit secara tiba-tiba pada leher dan bahunya, diikuti rasa mencucuk pada lengan.
Beliau menyangka dia mengalami ketegangan saraf dan memutuskan untuk mandi dengan harapan ia dapat meredakan kesakitan, namun tidak lama kemudian jari kaki, kaki, pinggul, lengan dan tubuhnya menjadi kebas.
20 minit kemudian, Roberts tidak dapat menggerakkan seluruh bahagian badannya selain kepala, menyebabkan dia terperangkap dalam tab mandi.
Ibu dan bapanya yang sedar akan kejadian itu segera menghubungi ambulans dan pasukan kecemasan membawanya ke Hospital Prince Charles di Merthyr Tydfil dan menjalani Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).
Kesihatannya menjadi lebih teruk apabila dia mengalami radang paru-paru agresif dan tidak bertindak balas dengan baik terhadap rawatan. Beliau juga dalam keadaan koma ketika mendapatkan rawatan.
Empat minggu selepas koma, Roberts mulai bertindak balas dengan rawatan dan ketika itu beliau sedar bahawa kerosakan pada saraf tunjangnya tidak dapat dipulihkan lagi.
"Saya tahu hidup saya tidak akan sama lagi. Saya tidak tahu apa yang perlu difikirkan kerana saya seorang yang berdikari.
"Satu kejutan besar apabila saya terpaksa berada dalam keadaan meminta segala-galanya walaupun cuma segelas air.
"Memandangkan doktor tidak tahu apa yang menyebabkan keadaan saya, mereka tidak dapat memberi jaminan saya akan pulih," katanya.
Punca kepada penyakit yang dialami Roberts ini masih lagi menjadi tanda tanya dalam bidang perubatan.
Sumber: [1]