“Pada mulanya, BTS dirancang untuk menjadi kumpulan besar dengan beberapa ahli, hampir seperti 2PM dan 2AM. Terdapat kumpulan balada berlima, yang mana saya dan V (Kim Taehyung) berada di dalamnya. Yang lain (RM, Suga, J-Hope dan Jungkook) berada dalam kumpulan hip hop,” begitulah pendedahan yang dibuat seorang pemuda bernama Kim Ji Hun, yang hampir sahaja bergelar anggota BTS.
Bagaimanapun, hanya beberapa bulan sebelum kumpulan K-Pop yang kini masyhur itu debut, Kim digugurkan daripada kumpulan tersebut.
BTS dikatakan telah mengurangkan bilangan pelatihnya secara rawak, daripada 30 kepada 20, dan akhirnya tujuh orang.
“Pengguguran itu berlaku secara tiba-tiba untuk saya. Suatu hari, saya mendapat panggilan untuk datang ke syarikat itu. Di sana, seorang wakil syarikat hanya memberitahu saya, baiklah, Ji Hun, kita tidak akan berjalan di laluan yang sama dengan awak lagi,” katanya.
Kim kemudian diberi masa seminggu untuk keluar dari asrama dan pulang ke kampung halamannya di Wonju.
Sejak itu, Kim telah menghabiskan 10 tahun terakhir dengan menjalani kehidupan sebagai ‘individu biasa’.
Dia telah bekerja sambilan, berkhidmat dalam tentera, dan lulus dari kolej dengan ijazah psikologi, sambil menyaksikan rakan-rakannya menaiki tangga kemasyhuran.
Kim kini tinggal bersama keluarganya di Wonju dan bekerja sebagai penjawat awam di pejabat kerajaan tempatan sambil menceburi bidang penciptaan kandungan YouTube.
Menurutnya, kali terakhir dia bercakap dengan anggota BTS adalah ketika dia melawat mereka tiga bulan sebelum mereka melakukan penampilan sulung pada 2013.
“Agak pelik melihat wajah mereka ke mana sahaja saya pergi dan mendengar lagu mereka di mana-mana. Tetapi walaupun mereka selebriti terkenal, saya masih ingat mereka sebagai remaja yang saya temui dulu,” ujar Kim.
Dia turut mendoakan yang terbaik untuk mereka dan tidak mempunyai sedikit pun sesalan terhadap pengalaman lalui itu.
“Saya masih belum mencapai kejayaan yang saya ingin capai. Saya ingin pergi lebih jauh dalam hidup sebelum bertemu dengan mereka sekali lagi,” katanya.
Sumber: [1]