Seekor kucing peliharaan keluarga di Warrington, Cheshire telah kembali ke rumahnya selepas beberapa hari ia ditemui dan disahkan mati.
Kucing yang dikenali sebagai Frankie, pada mulanya hilang selepas tidak pulang ke rumah sekitar 19 Mei tahun lalu.
Pemiliknya, Rachel Fitzsimos percaya kucingnya itu mati akibat dilanggar kenderaan selepas menemui satu bangkai kucing di lebuhraya M6.
Pihak pengurusan lebuhraya kemudian menghantar bangkai kucing itu ke klinik haiwan, namun tidak dapat mengesan sebarang cip tanda milik dalam haiwan terbabit. Rachel bagaimanapun yakin bangkai kucing itu adalah milik Frankie berdasarkan warna bulu dan tanda putih pada badannya.
Selepas mengambil bangkai kucing berkenaan di klinik haiwan, Rachel membawa ia pulang untuk disemadikan dan dibakar menjadi abu.
Ketika beliau dan ahli keluarganya masih bersedih akan pemergian Frankie, selang beberapa hari kemudian Frankie pulang ke rumah dalam keadaan kurus dan kelaparan.
Ia membuatkan seluruh ahli keluarga Rachel terkejut kerana mereka menyangka bangkai haiwan yang ditemui dekat lebuhraya itu adalah milik haiwan peliharaan mereka.
“Ia kembali ke rumah dalam keadaan kurus, mengeow untuk masuk seperti tiada apa yang berlaku.
“Kami sekeluarga menangis dan masih terkejut. Kami ingin tahu, milik siapakah kucing yang kami semadikan beberapa hari sebelum ini,” kata Rachel.
Sumber: Daily Star