Baru-baru ini, sebuah pesawat komersial disambar petir sejurus selepas mendarat di lapangan terbang di Arkansas, seperti yang dilaporkan oleh akhbar Metro UK.
Pesawat itu adalah milik syarikat penerbangan American Eagle yang cuba untuk mendarat di lapangan terbang berkenaan. Namun, kerana cuaca ribut petir sedang berlaku, pesawat itu terpaksa menunggu cuaca reda sebelum bergerak ke terminal.
Semasa kejadian, seorang jurugambar bernama Jason William Hamm sempat mengambil gambar pesawat tersebut.
“Saya tidak fikir petir akan mengenai pesawat itu,” katanya.
Tidak semena-mena, beliau melihat petir menyambar dan mengenai ekor pesawat Embraer E175 itu, menyebabkan nyalaan api tercetus.
“Wah, wah. Yang itu kena,” kata seseorang bersebelahan Hamm.
Kejadian menakutkan ini menyebabkan semua penumpang dengan cepat turun dari pesawat.
Satu pasukan juruteknik dipanggil untuk memeriksa pesawat secara menyeluruh bagi mengesan sebarang tanda kerosakan atau masalah. Sehingga artikel ditulis, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan masih belum ada sebarang perkembangan terkini mengenai keadaan pesawat itu.
Sumber: Kosmo!