Sebagai langkah keselamatan, ada pemilik kenderaan yang memasang sensor dan kamera pada kereta masing-masing, antaranya bertujuan untuk mengelakkan daripada berlaku kecurian.
Sensor yang dipasang pada kereta biasanya akan menghantar satu notifikasi pada telefon bimbit pengguna, sebagai amaran terdapat seseorang sedang berada berdekatan dengan kenderaan mereka.
Itu yang berlaku pada seorang pemilik kenderaan yang berdepan detik ‘mencemaskan’ selepas menerima satu notifikasi pada telefon bimbitnya, menyatakan ada ‘seseorang’ atau ‘sesuatu’ berhampiran keretanya pada jam 1 pagi.
Menerusi video Tiktok @geby_283, beliau menerima notifikasi pada waktu tengah malam, selepas kamera kenderaannya mengesan ‘kelibat’ berhampiran kereta.
“Tengah-tengah malam naik notification ni memang tak rilek. Nak check takut tapi taknak check risaukan kereta. Fikirkan sape main tengah-tengah malam macam ni,” tulisnya dalam video berkenaan.
Beliau yang berasa tidak sedap hati, kemudian memeriksa kamera untuk mendapatkan kepastian.
Hasil pemeriksaan mendapati ‘kelibat’ pada atas keretanya itu rupanya adalah seekor kucing yang sedang duduk pada but hadapan.
Kucing itu dilihat ‘selamba’ duduk atas kereta pemilik itu, sambil ‘membersihkan’ dirinya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet terhibur menyaksikan video berkenaan, malah ada yang memberi pandangan serta teori masing-masing.
Setakat artikel ini ditulis, video berkenaan mendapat lebih 600,000 tontonan dan hampir 100,000 tanda suka.
Sumber: Tiktok