Sebelum ini, negara China telah melakukan ujian calitan dubur pada rakyatnya kerana mendakwa cara itu lebih tepat dalam mengesan mereka yang dijangkiti COVID-19.
Kini, dalam usaha mengekang penularan wabak tersebut daripada masuk ke negara berkenaan, China mewajibkan ujian calitan dubur kepada semua pelancong antarabangsa yang tiba di negara itu.
Menurut The Sun, doktor-doktor di China telah menggunakan ujian calitan dubur terhadap pesakit yang dikuarantin untuk memeriksa sama ada mereka bebas daripada virus korona.
Menurut pakar, virus COVID-19 dapat dikesan lebih lama dalam sampel najis berbanding dengan sampel yang diambil pada hidung atau kerongkong.
Prosedur calitan ini melibatkan proses memasukkan pelapik kapas sekitar tiga hingga lima sentimeter ke dalam dubur dan memutarnya dengan lembut. Pelapik itu kemudian dikeluarkan sebelum diletakkan di dalam bekas sampel untuk diuji di makmal.
Kontroversi ujian calitan dubur nyata menarik perhatian dunia termasuk Amerika Syarikat yang melabelkan ujian itu sebagai ‘tidak bermaruah’.
Sumber: The Sun