Mahu Teroka Sumber Baru, China Mula Gerudi Lubang Sedalam 10,000 Meter

Satu pasukan saintis China telah mula menggerudi ke dalam kerak bumi dengan kedalaman sehingga 10,000-meter dengan tujuan untuk mencari sumber ekonomi yang belum ditemui sebelum ini.

mahu teroka sumber baru, china mula gerudi lubang sedalam 10,000 meter

Menurut The Guardian, projek menggali telah pun bermula pada Selasa lepas dekat kawasan Lembah Tarim yang tandus di wilayah Xinjiang, China.

 

Mereka menggunakan peralatan khas untuk menembusi lebih daripada 10 lapisan batu dan tanah untuk mencapai bahagian batu kapur di dalam kerak bumi.

 

Dilaporkan bahawa batuan di kawasan kerak bumi ini berumur kira-kira 145 juta tahun. Projek ini juga dijangka siap dalam tempoh kira-kira 457 hari.

Media tempatan memuji usaha ini sebagai satu pencapaian penting dalam usaha China untuk meneroka misteri bumi.

 

Perbadanan Petroleum Nasional China menyatakan bahawa misi penerokaan ini akan memberikan pemahaman yang berharga tentang struktur dalaman bumi, evolusinya, dan memberikan data untuk penyelidikan geologi.

 

Sun Jinsheng, seorang saintis dari Akademi Kejuruteraan China pula mengakui cabaran besar berkaitan dengan projek ini.

mahu teroka sumber baru, china mula gerudi lubang sedalam 10,000 meter

Beliau mengumpamakan kesukaran melaksanakan projek menggali lubang ini seperti mengendalikan trak besar di atas dua kabel keluli nipis.

 

Peralatan untuk menggali lubang telah direka khas untuk tahan suhu bawah tanah sehingga 200 darjah Celsius dan tekanan atmosfera kira-kira 1,300 kali lebih tinggi daripada permukaan.

 

Terdahulu, rekod dunia untuk lubang buatan manusia yang paling dalam masih dipegang oleh Lubang Kola Superdeep yang terletak di barat laut Rusia. Selepas dua dekad proses menggali, ia mencapai kedalaman 12,262-meter pada tahun 1989, sebelum mereka menghentikan projek tersebut.

 

Sumber: The Guardian