Pelik Betul, Kumpulan Biri-Biri Ini Pusing Dalam Bulatan 2 Minggu Tanpa Sebab

Satu fenomena aneh telah berlaku dimana satu kawanan biri-biri berjalan dalam formasi bulatan selama hampir dua minggu tanpa diketahui puncanya.

pelik betul, kumpulan biri-biri ini pusing dalam bulatan 2 minggu tanpa sebab

Kejadian aneh itu berjaya dirakam menerusi satu rakaman CCTV di sebuah ladang biri-biri dekat wilayah Inner Mongolia, China.

 

Dapat dilihat menerusi CCTV itu, berpuluh-puluh ekor biri-biri berjalan mengikut arah jam dalam satu bulatan besar. Malah, beberapa ekor haiwan lain dilihat berdiri dalam kandang dan di tengah bulatan kerana tidak dapat bergerak.

 

Kumpulan biri-biri itu juga dilaporkan sihat dan sempurna, namun kelakuan aneh ini tidak dapat dijelaskan puncanya.

 

Menurut pemilik kawanan biri-biri itu, pada 4 November lalu hanya beberapa biri-biri berkelakuan seperti itu, namun selang beberapa hari kemudian biri-biri lain turut mengikut kelakuan aneh ini sehingga ia berterusan untuk dua minggu lamanya.

 

Lebih aneh, daripada 34 kandang yang ada disitu, hanya biri-biri dari kandang 13 yang bergerak dalam bulatan seperti ini.

Menurut beberapa pandangan dan teori, ada yang mendakwa biri-biri ini dijangkiti bakteria yang menyebabkan keadaan disebut sebagai listeriosis atau penyakit bulatan. Ada juga yang mendakwa biri-biri ini tertekan, keliru dan tak kurang yang mengaitkan ia dengan fenomena makhluk asing.

 

Sumber: Kosmo!