Demi Tarik Perhatian Wanita Untuk Kahwini Anaknya, Bapa Di China Sanggup Tawar 20 Geran Tanah

Seorang bapa di China menghadiahkan 20 aset hartanah kepada anak lelakinya dalam percubaan untuk membantu darah dagingnya itu memperoleh pasangan hidup.

demi tarik perhatian wanita untuk kahwini anaknya, bapa di china sanggup tawar 20 geran tanah

Menurut media China Jimu News, seorang bapa di wilayah Hebei, China muncul di sudut mencari jodoh di sebuah taman baru-baru ini untuk mencari isteri bagi anak lelakinya yang berusia 24 tahun, dengan 20 geran tanah di tangan sebagai mas kahwin.

Dalam rakaman video yang tersebar di media sosial, sebuah beg tote berwarna merah jambu dibuka untuk menunjukkan timbunan dokumen yang dikatakan bapanya sebagai geran tanah harta komersial.

“Ayah itu tidak cuba menunjuk-nunjuk. Dia hanya mahu mempamerkan keikhlasannya dan mencari menantu perempuan dengan status yang sama,” kata seorang pencari jodoh bernama Wang yang turut membantu lelaki itu, kepada Jimu News.

“Dia berkata anaknya mempunyai pekerjaan yang stabil dan mempunyai banyak kualiti baik,” sambung Wang.

Kisah itu turut menjadi viral di media sosial sehingga mencetuskan perdebatan dalam kalangan komuniti wargamaya China mengenai ketaksuban ibu bapa untuk mengahwinkan anak mereka.

“Tekanan sebegitu agak berlebihan. Mungkin anak lelakinya pun tak nak kahwin,” komen seorang wargamaya.


Sumber: [1]