Seorang wanita yang mengaut keuntungan lebih kurang AS$50,000 (RM210,000) seminggu hanya dengan menjual kentutnya mengumumkan yang dia akan bersara daripada perniagaan terbabit selepas mengalami masalah kesihatan.
Stephanie Matto yang juga seorang bintang realiti TV dikejarkan ke hospital selepas dilaporkan mengalami sakit dada yang dianggap sebagai simptom serangan jantung, menurut Jam Press.
Selepas menjalani pelbagai ujian, wanita berusia 31 tahun itu diberitahu dia tidak mengalami serangan jantung tetapi kesakitan itu disebabkan oleh diet kacang dan telurnya yang menyebabkan perut kembung.
“Saya fikir saya diserang angin ahmar dan ini adalah saat terakhir saya,” kata Matto.
“Saya sudah keterlaluan.”
Disebabkan permintaan yang tinggi, dia terpaksa menghasilkan sehingga 50 balang kentut seminggu dan mengambil banyak protein shake untuk menjadikan kentutnya lebih menyengat.
“Saya masih ingat dalam satu hari saya mempunyai kira-kira tiga protein shake dan semangkuk besar sup kacang hitam.
“Saya dapat tahu ada sesuatu yang tidak kena pada petang itu ketika saya berbaring di atas katil dan saya dapat merasakan tekanan dalam perut saya bergerak ke atas.”
Matto menambah dia mengalami kesukaran bernafas dan merasakan sensasi mencubit di sekeliling jantungnya sehingga mendorongnya untuk menghubungi rakan untuk memandunya ke hospital.
“Ia telah dijelaskan bahawa apa yang saya alami bukanlah strok atau serangan jantung tetapi sakit gas yang sangat kuat.
“Saya dinasihatkan untuk menukar diet dan mengambil ubat penahan gas, yang telah menamatkan perniagaan saya dengan berkesan.”
Matto mula menjual kentutnya dalam balang sebagai langkah publisiti lucu untuk menarik perhatian orang ramai.
Tetapi ia ternyata menjadi usaha yang menguntungkan apabila terjual dengan begitu laku sekali.
Dia dilaporkan telah meraih kira-kira AS$200,000 (RM838,000) menerusi hasil jualannya.
Sumber: [1]