Tisu Digunakan Messi Untuk Lap Air Mata Dilelong Semula Pada Harga RM4.2 Juta

Siapa nak sangka, tisu yang digunakan untuk menyeka air mata bekas penyerang Barcelona, Lionel Messi ketika mengumumkan bahawa dia akan meninggalkan kelab terbabit akan dijual semula pada harga AS$1 juta yang bersamaan dengan RM4.24 juta.

tisu digunakan messi untuk lap air mata dilelong semula pada harga rm4.2 juta

Tisu tersebut pada asalnya dihulurkan isteri Messi, iaitu Antonella yang turut sama menyaksikan suaminya berucap di atas pentas, yang mana dia kemudian memberikan tisu terbabit kepada Messi agar mengelap air matanya yang terus-terusan mengalir sepanjang persidangan penuh emosi itu berlangsung.

Memetik laporan Gulf Today, sebaik sahaja sidang media tersebut tamat, seorang individu yang tidak dapat dikenal pasti identitinya, mengambil tisu terpakai itu dan memasang iklan di laman dalam talian yang popular serta mengumumkan bahawa dia akan menjualnya pada harga AS$1 juta.

Tisu tersebut malahan didakwa dijual semula pada harga mahal berikutan ia mengandungi ‘bahan genetik’ Messi, yang mana kononnya ia berupaya membantu seseorang itu untuk menjadi bintang bola sepak seperti Messi.

Messi, 34, merupakan pemain bola sepak kelahiran Argentina.

Awal bulan ini, beliau meninggalkan Barcelona FC setelah bermain kira-kira 16 musim tanpa henti sebagai pemain bola sepak profesional bagi kelab terbabit dan menandatangani kontrak bersama Paris Saint-Germain.

 

Sumber: [1]