Tiga Wanita Pura-Pura Diculik, Minta Wang Tebusan Daripada Bapa Sendiri

Tiga orang wanita berkomplot antara satu sama lain kerana ingin mendapatkan wang daripada ayah mereka sendiri.

tiga wanita pura-pura diculik, minta wang tebusan daripada bapa sendiri

Mereka yang berasal dari Muar, Johor itu berpura-pura diculik dan menuntut wang tebusan daripada ayah mereka.

Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, kejadian yang berlaku pada 1 Oktober itu melihat ketiga-tiga wanita itu menelefon ayah mereka dan mengatakan bahawa mereka telah diculik.

Mereka kemudian meminta ayah mereka untuk memberikan sejumlah wang sebagai tebusan supaya dapat dibebaskan.

Mendengar berita mengejutkan itu, lelaki yang berusia 66 tahun itu segera menghubungi pihak polis dan melaporkan kejadian tersebut yang mana pihak polis segera memulakan siasatan.

Kira-kira tiga hari kemudian, ketiga-tiga wanita itu ditangkap di dua lokasi berbeza dan ditahan selama tiga hari.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Polis Daerah Muar, ketiga-tiga wanita itu dikatakan bersekongkol dengan mereka-reka cerita palsu mengenai penculikan mereka untuk mendapatkan wang daripada ayah mereka.

Pihak polis masih menyiasat motif kejadian.

Kes tersebut termasuk dalam Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

 

Sumber: [1]