Setahun Terkandas Di Bali, Warga Emas Asal Itali Ini Hidup Bergelandangan

Seorang warga emas berusia 75 tahun yang berasal dari Itali, Albani Roberto, ditemui terbengkalai dan mengemis di kawasan sekitar Bali.

setahun terkandas di bali, warga emas asal itali ini hidup bergelandangan

Menurut Ketua Polis Perbandaran, I Gusti Agung Ketut Suryanegara, warga emas tersebut ditemui tidur di sebuah kedai yang terletak di kawasan Jalan Benesari, Legian, Bali.

Dia difahamkan terpaksa meneruskan kehidupan hariannya dalam keadaan sedemikian akibat terkandas di negara tersebut susulan tercetusnya pandemik COVID-19.

Tambah Suryanegara lagi, warga emas itu pada awalnya tinggal di daerah Canggu, Kabupaten Kuta Utara, Bali. Namun, sejak melandanya pandemik COVID-19, dia tidak dapat kembali ke negara asalnya kerana terkesan dengan perintah berkurung yang dijalankan.

Dalam pada itu, warga emas tersebut juga mengakui bahawa dia merupakan seorang seniman dan pernah menjalankan perniagaan seni di Canggu, namun terpaksa berputih mata terhadap perusahaannya itu lantaran pandemik COVID-19 yang masih belum berpenghujung.

Selain itu, warga emas itu juga diketahui bahawa dia telah berada di Bali selama setahun dan sepanjang tempoh tersebut, dia menjalani kehidupan hariannya dengan tidur di sekitar kedai, gerai dan rumah sekitar Jalan Benesari. Difahamkan, dia juga menumpang belas ihsan daripada warga tempatan yang memberikannya makan.

Biarpun begitu, tambah pihak berkuasa, warga emas tersebut berada dalam keadaan sihat dan kini telah dibawa ke pihak berkuasa imigresen di Bali.

Ketika ditemui, dia hanya membawa pakaian yang dipakainya.

“Sudah dibawa ke imigresen. Dia sihat namun harus menjalani ujian perubatan lagi. Untuk identitinya, ada pengakuan tetapi dia mengatakan dia kehilangan,” ujar Suryanegara.

 

Sumber: [1]