Pemuda Ejek Orang Ramai Guna Mask Diangkat Jadi Duta Protokol Kesihatan

Gara-gara perbuatan tidak sensitifnya yang ‘mengejek’ orang ramai mengenakan topeng muka di tempat umum, seorang lelaki dari Indonesia secara ironinya diangkat menjadi duta besar untuk mempromosikan protokol kesihatan.

pemuda ejek orang ramai guna mask diangkat jadi duta protokol kesihatan

Awal minggu ini, pihak polis di ibu kota Jawa Timur Surabaya memanggil lelaki terbabit untuk disoal siasat setelah video yang menunjukkan dia jelas mengejek pengunjung pusat beli-belah bertopeng muka tular di media sosial.

Dalam video tersebut yang dimuat naik di Instagram Story, lelaki yang dikenali sebagai Putu Aribowo itu dilihat jelas tidak mengenakan sebarang topeng muka sambil mendukung bayinya, serta sempat mengejek orang ramai yang bertopeng muka di situ.

“Kami tidak memakai topeng muka, nak, lihat orang bodoh ini.

“Kenapa kamu semua bodoh. Begitu banyak orang bodoh yang memakai topeng muka,” ujar lelaki tersebut kepada anaknya sambil merakamkan aksi tersebut dengan menggunakan kamera telefon bimbitnya.

Selain itu, Putu turut menulis pada kapsyen, “Apa gunanya topeng wajah anda? Sekiranya anda takut dengan virus, bina kubu bawah tanah, jangan pergi ke pusat beli-belah.”

Video tersebut kemudian viral dan disifatkan keterlaluan oleh orang ramai hinggakan dia dipanggil oleh pihak polis.

Putu kemudiannya meminta maaf atas kesalahan tersebut.

Katanya, “Kata-kata yang saya katakan sama sekali tidak sesuai. Saya menyesal. Saya meminta maaf kepada semua warga Indonesia yang melihat kisah Instagram saya, terutama penduduk Surabaya. Kepada semua orang yang telah mematuhi protokol kesihatan. Saya akan mematuhi protokol kesihatan, terutamanya memakai topeng muka.”

Jelas Putu lagi, dia masih tidak percaya bahawa virus COVID-19 merupakan sesuatu nyata, biarpun virus tersebut kini telah pun melanda dunia termasuk Indonesia lebih dari setahun, selain mengatakan bahawa dia hanya ingin menyampaikan ‘pendapatnya’ berkenaan penggunaan topeng muka.

Putu kemudian dikenakan denda sebanyak Rp150,000, kira-kira RM43, dan diperintahkan untuk melakukan kerja sosial wajib di tempat perlindungan sosial milik pemerintah di Surabaya sehari.

Biarpun sikapnya yang jelas anti-topeng, pihak berkuasa tempatan bagaimanapun telah melantik Putu sebagai duta protokol kesihatan, dengan harapan dapat meningkatkan kesedaran mengenai langkah berjaga-jaga semasa pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, Putu bukanlah penduduk Indonesia pertama yang diangkat sebagai duta besar berikutan kesalahan berkaitan yang pernah dilakukan mereka sebelum itu.

Terdahulu, aktres Dewi Persik dilantik sebagai duta keselamatan lalu lintas kerana memandu di lorong terlarang.

 

Sumber: [1]