Pasangan Jepun Bercerai & Berkahwin Semula Setiap Tiga Tahun Untuk Gilir-Gilir Tukar Nama Keluarga

Kerana ingin bergilir-gilir menggunakan nama keluarga masing-masing, sepasang suami isteri di Jepun sanggup bercerai dan berkahwin semula setiap tiga tahun.

pasangan jepun bercerai & berkahwin semula setiap tiga tahun untuk gilir-gilir tukar nama keluarga

Berdasarkan undang-undang Jepun, mereka yang berkahwin mesti bersetuju untuk menggunakan satu nama keluarga selepas mereka berkahwin.

Tetapi apa yang berlaku pada pasangan yang berasal dari bandar Hachioji, di pinggir Tokyo ini adalah mereka tidak dapat memutuskan nama keluarga mana yang ingin digunakan mereka.

Menurut pasangan itu, mereka pernah bertengkar gara-gara nama keluarga yang digunakan selepas berkahwin.

“Suami saya (yang masih teman lelaki pada ketika itu) berpendapat wanita perlu mengambil nama keluarga suami mereka. Saya tidak bersetuju dengan itu, jadi kami bertengkar,” kata wanita tersebut kepada akhbar Jepun, Mainichi.

Ketika mereka masih bergelar tunangan, wanita itu mengaku pernah berasa sangat kecewa kerana tidak dapat mengekalkan nama keluarganya, dan tunangnya juga mengadu mengenai masalah tersebut kepada beberapa rakan lain.

Ketika itulah tunangnya mendapat tahu tentang pasangan lain yang mengalami masalah sama namun berjaya menyelesaikannya dengan bercerai secara berkala dan berkahwin semula bawah nama keluarga pasangan yang lain, yang mana, itulah yang mereka kemudian putuskan untuk lakukan.

Selepas lelaki yang bekerja sebagai penjawat awam itu menyampaikan penyelesaian kepada wanita tersebut, mereka memutuskan untuk meneruskannya.

Pada tahun 2016, mereka berkahwin buat kali pertama dan menggunakan nama keluarga sebelah suami selama tiga tahun.

Kemudian, pada tahun 2019, mereka bercerai dan kemudian berkahwin semula menggunakan nama keluarga sebelah isteri.

Julai ini, mereka dijadualkan untuk bercerai lagi, selepas itu mereka merancang untuk berkahwin semula menggunakan nama keluarga suami.


Sumber: [1]