Percaya atau tidak, seseorang manusia itu sebenarnya mempunyai kecenderungan sebanyak 14% untuk meninggal dunia ketika hari lahir mereka!
Perkara tersebut disahkan sendiri menerusi satu kajian yang dijalankan di Switzerland, diterbitkan dalam Annals of Epidemiology, yang menganalisis 2.4 juta kematian dalam tempoh 40 tahun dan mendapati bahawa “birthday blues” berupaya mematikan hayat seseorang.
Sekadar perkongsian, “birthday blues” juga dikenali sebagai “birthday depression” merupakan perasaan sedih atau kemurungan yang dialami seseorang sekitar hari lahirnya.
Dalam pada itu, kajian tersebut menemukan terdapat kira-kira 13.8% kecenderungan untuk seseorang itu pada hari lahir mereka berbanding dengan hari-hari lain dalam sesuatu tahun.
Namun ia tidak terhenti pada setakat itu sahaja.
Makin meningkat usia seseorang, makin bertambah kecenderungannya untuk meninggal dunia ketika hari lahir mereka.
Dilaporkan bahawa angka tersebut meningkat daripada 13.8% kepada 18% lebih tinggi buat mereka yang berusia lebih daripada 60 tahun.
Menurut pecahan yang dikaji penyelidik, angka kematian ketika hari lahir berdasarkan penyakit yang dihidapi individu menunjukkan bahawa terdapat peningkatan risiko kematian sebanyak 18.6% akibat penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung, dan risiko 21.5% lebih tinggi akibat penyakit strok.
Kebanyakan penyelidik masih lagi tercari-cari jawapan di sebalik kecenderungan tersebut kerana rata-ratanya, ia sukar untuk dijelaskan.
Namun, ada penyelidik yang berpendapat mengenai mengapa manusia lebih cenderung untuk meninggal dunia pada hari lahir mereka dengan menggunakan satu teori yang dikenali sebagai teori penangguhan.
Teori terbabit mengatakan bahawa seseorang manusia yang menghidap penyakit parah menjadi tertunggu-tunggu dengan ketibaan hari lahir mereka, dalam usaha untuk bergelar satu tahun lebih tua.
Namun terdapat sebilangan penyelidik mengatakan teori tersebut tidak menepati apa yang ditemui mereka langsung.
Sebagai alternatif kepada teori tersebut, ada yang berpendapat bahawa peristiwa ulang tahun kelahiran itu sendiri sebenarnya yang menyebabkan berlakunya peningkatan pada kecenderungan kematian.
Penulis kajian tersebut menjelaskan bahawa stres memainkan peranan penting dalam kematian ulang tahun, kerana ia merupakan punca terjadinya “birthday blues”.
Sumber: Fox News