Seorang lelaki di Jepun yang dikenali sebagai Shoji Morimoto menawarkan khidmat untuk menemani mereka yang memerlukan teman, dengan syarat, dia tidak berbuat apa-apa.
Mungkin ramai yang menganggap khidmat yang ditawarkan itu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal.
Tetapi, khidmat tersebut bagaimanapun berjaya menerima lebih 3,000 permintaan sejak dia pertama kali memulakannya sekitar Jun 2018, selain pengikut Twitter miliknya yang kini mencecah lebih 267,000.
Pada asalnya, Shoji menawarkan perkhidmatan tersebut secara percuma.
Bagaimanapun, sejak ia mendapat sambutan, Shoji mula mengenakan bayaran sebanyak 10,000 yen (RM379) untuk setiap permintaan, tidak termasuk belanja makanan dan perjalanan.
Menurut kebanyakan klien Shoji akui bahawa mereka hanya inginkan teman untuk mendengar luahan mereka selain teman untuk makan tengahari.
“Saya bukan rakan atau kenalan. Saya bebas daripada perkara-perkara mengganggu yang terdapat dalam sesuatu hubungan, tetapi dapat menyenangkan mereka yang berasa kesunyian. Mungkin ia seperti itu bagi saya,” kata Shoji yang sudah berkahwin dan juga merupakan graduan dalam bidang fizik dari Universiti Osaka.
Tambahnya lagi, “Saya sendiri tidak suka disorak oleh orang lain. Saya berasa kecewa apabila orang terus-terusan memberitahu saya untuk ‘terus mencuba’.
“Ketika seseorang itu berusaha melakukan sesuatu, saya rasa cara terbaik adalah dengan meringankan beban mereka dengan cara tetap berada di sisi mereka,” lanjutnya.
Dalam pada itu, salah seorang klien yang pernah menggunakan perkhidmatannya sebanyak 10 kali berkongsi yang dia sering membawa Shoji untuk menemui lelaki yang baru dikenalinya untuk pertama kali, selain untuk meluahkan pendapatnya mengenai cinta, yang mana dia berasa tidak selesa untuk berbuat benda yang sama dengan kawan-kawan lain.
Selain itu, ada juga klien lain yang menulis, “Saya gembira saya dapat berjalan-jalan dengan seseorang sambil menjaga jarak dengan selesa, yang mana kami tidak perlu bercakap antara satu sama lain tetapi boleh saja jika kami mahu.”
Sementara itu, tulis klien yang lain pula, “Saya kurang gemar berkunjung ke hopsital, tetapi saya pergi kerana dia menemani saya.”
Sumber: [1]