Kredit Nama Isteri Sebagai Penulis Lagu EXO, Pekerja SM Entertainment Digantung

Akibat menambah nama isterinya sebagai penulis lirik lagu EXO dan BoA, seorang pekerja SM Entertainment bahagian artis dan repertoir (A&R) dikenakan hukuman tatatertib.

kredit nama isteri sebagai penulis lagu exo, pekerja sm entertainment digantung

Menurut laporan media tempatan, seorang bekas ketua bahagian A&R SM Entertainment ‘kantoi’ berbuat sedemikian terhadap lagu-lagu nyanyian EXO, EXO-CBX, Baekhyun dan BoA, yang mana dia dikatakan menambah nama isterinya untuk keseluruhan 15 lagu.

Berikutan itu, hukuman tatatertib serius dilaporkan telah diambil terhadapnya.

Sekadar perkongsian, pasukan A&R merupakan mereka yang bertanggungjawab dalam pencarian bakat dan pengawasan perkembangan seni artis rakaman dan penulis lagu. Selain itu, mereka juga bertindak sebagai penghubung antara artis dan label rakaman atau syarikat penerbitan.

Oleh kerana sebahagian daripada tanggungjawab pasukan A&R adalah untuk mengawasi produksi lagu, mereka adakalanya akan mengumpulkan lirik daripada penulis lirik berserta kredit.

Namun, dalam kes terbabit, pekerja agensi popular itu menyalahgunakan kuasanya demi mengumpulkan royalti yang bukan miliknya.

Difahamkan pekerja yang tidak didedahkan namanya itu menggunakan tiga nama palsu untuk cuba mengelakkan kecurigaan, namun dia tetap sahaja tertangkap dan kini dihadapkan dengan tindakan disiplin oleh agensi tersebut.

 

Sumber: [1]