‘Kantoi’ Keluar Kerja Awal 2 Minit, Gaji Dipotong 3 Bulan

Sukar untuk dipercayai namun ini yang terjadi di Jepun yang mana gaji seorang pekerja itu dipotong gara-gara keluar dari kerja awal dua minit!

‘kantoi’ keluar kerja awal 2 minit, gaji dipotong 3 bulan

Menurut laporan, terdapat beberapa pegawai kerajaan di negara matahari terbit itu dihukum oleh organisasi tempat kerja mereka akibat meninggalkan pejabat hanya beberapa minit awal daripada waktu tamat kerja yang sepatutnya.

Lantaran itu, mereka dilaporkan terpaksa menanggung padah dengan berputih mata melihat gaji masing-masing dipotong.

Berdasarkan perkongsian Dewan Pendidikan Kota Funabashi di Prefektur Chiba, terdapat lebih daripada 300 pelepasan awal telah dilancarkan antara Mei 2019 hingga Januari 2021.

Dalam beberapa kes terbabit, organisasi terbabit mendapati bahawa ramai pekerja sebenarnya telah memalsukan waktu log keluar mereka dalam cubaan meninggalkan tempat kerja mereka lebih awal.

Tidak terkecuali, salah seorang pegawai atasan daripada organisasi tersebut turut ditangkap berbuat demikian kerana keluar dua minit awal pada setiap hari hanya kerana ingin mengejar bas yang berlepas pada 5.17 petang.

Sebagai hukuman, pekerja berusia 59 tahun itu terpaksa menanggung akibat dipotong gaji sebanyak 1/10 selama tiga bulan berturut-turut.

Dalam pada itu, dua pegawai kanan lain diberi amaran bertulis manakala empat kakitangan lain pula diberi notis tegas.

Ini bukanlah kali pertama kejadian sebegini dilaporkan berlaku di negara tersebut.

Pada 2018, seorang penjawat awam dihukum setelah diketahui bahawa dia meninggalkan mejanya tiga minit sebelum waktu makan tengah hari yang ditetapkan, untuk membeli makanan.

Waktu makan tengah hari lelaki terbabit sepatutnya berlangsung dari 12 tengah hari hingga 1 tengah hari, namun dia meninggalkan mejanya tiga minit sebelum jam 12 tengah hari.

Berbeza dengan Sepanyol yang lebih menitikberatkan keseimbangan dalam pekerjaan dan kehidupan, negara tersebut kini dilaporkan sedang mempersiapkan penduduknya dalam mempraktikkan amalan bekerja empat hari seminggu berbanding dengan lima hari seminggu yang sering kita lihat di kebanyakan negara serata dunia.

Sekiranya perkara tersebut melepasi tempoh percubaan, Sepanyol bakal bergelar salah satu negara di dunia yang mengamalkan tempoh bekerja selama empat hari seminggu.

 

Sumber: [1]