Kafe Di Tokyo Ini Hanya Dibuka Untuk Penulis Yang Kejar 'Deadline', Tak Boleh Balik Selagi Tak Siap!

Sebuah kafe di Tokyo, Jepun hanya dibuka kepada penulis yang bekerja pada tarikh akhir yang ketat bagi memberikan motivasi dan bantuan yang diperlukan untuk memastikan mereka berjaya mengejar tarikh akhir tersebut.

kafe di tokyo ini hanya dibuka untuk penulis yang kejar 'deadline', tak boleh balik selagi tak siap!

Kafe yang dikenali sebagai Manuscript Writing Café ini terletak di kejiranan Koenji, Tokyo dan hanya mengalu-alukan penulis yang bergelut untuk mengejar tarikh akhir projek mereka.

“Manuscript Writing Café hanya membenarkan individu yang berhadapan dengan tarikh akhir untuk menulis! Ia demi mengekalkan tahap tumpuan dan suasana tegang di kafe! Terima kasih kerana memahami,” tulis pemilik kafe itu, Takuya Kawai di Twitter.

Ia mengenakan bayaran sebanyak 150 yen (RM4.96) untuk setiap 30 minit, dan dilengkapi dengan port USB, tempat duduk komputer serta Wi-Fi percuma.

Mereka yang datang ke situ juga boleh membawa makanan dan minuman yang ada.

Walaupun kafe itu sebenarnya menerima pelbagai jenis penulis, daripada penterjemah, penulis novel dan sebagainya, tetapi peraturannya adalah sama untuk semua orang, yang mana apabila memasuki kafer tersebut, pengunjung perlu menulis di meja penyambut tetamu berapa banyak perkataan yang mereka rancang untuk menulis dan tempoh masa yang mereka rancang untuk habiskan.

Setiap jam, seorang kakitangan akan datang untuk menyemak progres mereka dan menggunakan tahap tekanan yang telah ditetapkan untuk membantu menggerakkan kerja tersebut.

Sebagai contoh, sekiranya seseorang penulis itu memilih kursus “S”, ia akan menyebabkan kakitangan kafe untuk menjadi lebih agresif terhadap penulis tersebut untuk menyelesaikan kerja, manakala kursus “M” pula melibatkan pendekatan yang lebih ringan.

Bagaimanapun, peraturan ekstrem di kafe ini ialah penulis tidak dibenarkan untuk menamatkan sesi mereka sehingga berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan atau sehingga tempat itu ditutup pada hari tersebut.

Tidak jelas pula cara kafe ini menguatkuasakan peraturan tersebut tetapi ia bertujuan untuk menghalang pelanggan daripada mengisytiharkan sasaran bercita-cita tinggi yang tidak realistik bagi mereka.

Apa pendapat korang tentang tempat ini?


Sumber: [1]