Gara-gara perbuatan menyembur cat hijau pada tiga kenderaan dan menggigit lengan polis akibat mahu melepaskan dirinya daripada tahanan polis, seorang wanita berusia 45 tahun dijatuhi hukuman RM2,800 oleh Mahkamah Majistret.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di Petaling Jaya.
Wanita terbabit yang bernama Lee kemudiannya dibawa ke Mahkamah Majistret dan dijatuhkan hukuman setelah dia mengaku bersalah ke atas segala pertuduhan berkenaan kejadian tersebut.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Lee dituduh menyembur cat hijau pada tiga kenderaan di tempat letak kereta Tenaga Kerja KTA di Jalan PJU 1/41, Dataran Prima, Kelana Jaya, bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100.
Mahkamah menjatuhkan jumlah maksimum RM100 untuk setiap tuduhan tersebut atau dua hari penjara sekiranya dia gagal membayar wang tersebut.
Seterusnya, Lee turut dituduh mahkamah menggunakan kekerasan jenayah untuk menakut-nakutkan penjawat awam yang merupakan seorang polis wanita dengan menggigit lengan kirinya ketika berada di dalam bilik petugas Balai Polis Kelana Jaya pada hari kejadian.
Hukuman tersebut ditentukan bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun penjara atau denda, atau kedua-duanya.
Berikutan itu, mahkamah memerintah wanita tersebut untuk membayar RM2,500 atas kesalahan tersebut atau menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya dia gagal membayar denda tersebut.
Sumber: Bernama