Dendam Dengan Ex, Wanita Tersilap Bunuh Kanak-Kanak Dengan Sate Beracun

Akibat dendam terhadap bekas kekasih hingga menimbulkan keinginan untuk membunuhnya, seorang wanita dari Indonesia mendapati dirinya terbunuh mangsa yang salah iaitu seorang kanak-kanak.

dendam dengan ex, wanita tersilap bunuh kanak-kanak dengan sate beracun

Wanita muda yang berusia 25 tahun cuba membunuh bekas kekasihnya itu dengan menghantar makanan yang berisi racun kepadanya.

Walaubagaimanapun, makanan yang berisi racun itu tidak pernah sampai kepada penerimanya hingga lain pula yang terjadi.

Pada 25 April lalu, wanita itu dikatakan membeli sebungkus sate ayam dan menaburkan sedikit sianida (cyanide) ke dalam sos satu tersebut.

Dia kemudiannya mendekati seorang lelaki penghantar barang bernama Bandiman dan memintanya untuk menghantar makanan tersebut kepada bekas kekasihnya, Tomy, dan siap menyuruh Bandiman untuk memberitahu penerima bahawa sate itu dihantar oleh seorang lelaki yang bernama Hamid.

Kebetulan pula, ketika Bandiman menghantar sate tersebut di hadapan pintu rumah Tomy, dia berada di luar bandar.

Isteri Tomy yang berada di rumah pula menolak untuk menerima penghantaran tersebut kerana dia tidak mengenali sesiapa yang bernama Hamid.

Oleh sebab itu, Bandiman membawa pulang sate tersebut untuk berbuka puasa bersama keluarganya.

Namun malang tidak berbau, anaknya yang berusia 10 tahun mati akibat keracunan setelah memakan sate tersebut.

dendam dengan ex, wanita tersilap bunuh kanak-kanak dengan sate beracun

Menurut Bandiman, isteri dan anaknya mencelup sate ke dalam sos tersebut dan kedua-duanya muntah sebaik sahaja selesai makanan itu.

Tambahnya lagi, dia teringat ketika anaknya ada mengatakan terasa pahit di mulutnya.

Kanak-kanak itu kemudiannya pergi ke dapur untuk mengambil air untuk diminum namun jatuh terbaring sebelum sempat berbuat demikian.

Dia disahkan meninggal dunia ketika menjalani rawatan di hospital.

Menurut pihak polis Yogyakarta menerusi sidang media yang diadakan pada 3 Mei, wanita yang dikenali sebagai Nani Aprilliani itu ditangkap pada 30 April lalu atas kesalahan melakukan pembunuhan yang direncanakan.

Lanjut pihak polis lagi, sebab wanita tersebut berbuat demikian adalah kerana patah hati disebabkan bekas teman lelakinya berkahwin dengan wanita lain, dan bukan dia.

Nani didapati membeli kalium sianida, sejenis racun yang mematikan dan digunakan dalam racun tikus, tiga bulan sebelum kejadian tragis itu dari platform e-dagang.

Setakat ini siasatan masih dijalankan.

Sekiranya disabitkan kesalahan, wanita tersebut akan dihadapkan dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Dalam pada itu, pihak polis juga sedang memburu rakan sekerja wanita itu yang dipercayai mendorongnya untuk melakukan perbuatan balas dendam tersebut.

 

Sumber: [1]