Dunia ketika ini sedang bertungkus-lumus melawan wabak yang telah meragut lebih 3.4 juta nyawa di dunia iaitu COVID-19.
Ketika saintis sedang berusaha mencari penawar berkesan untuk COVID-19, seorang jurutrengkas dari India tampil dengan cadangan aneh sebagai penyembuh wabak itu.
Menurut SV Annandd Rao dari Ananthpuram di Andhra Pradesh, beliau percaya pandemik yang berlarutan kini hanya dapat diatasi dengan memperbetulkan ejaan yang ‘salah’.
Katanya, ejaan ‘Corona’ adalah penyebab kepada masalah ini terus berpanjangan yang mana ia boleh melumpuhkan dunia.
Namun, jika ia ditukar ejaannya dan menambah huruf lain, semuanya akan kembali pulih, dakwa Rao yang mencadangkan tambahan huruf n dan d pada nama virus terbabit.
"Jika kita mengeja dengan huruf 'kekuasaan yang esa', ia akan mewujudkan aura yang membawa kepada hilangnya virus sepenuhnya. Jadi manfaat itu boleh dicapai dengan menukar ejaan COVID-19 kepada 'Covviyd-19'," katanya.
Ekoran daripada cadangan lelaki itu, ia menjadi tular di media sosial termasuklah mencadangkan agar nama ahli politik turut ditukar bagi memberi tuah kepada negara.
Sumber: Times of India